PSP juara keseluruhan Malpcidac 2019

Sebahagian tetamu yang hadir bergambar bersama peserta pada Malpcidac di PSIS di sini.
Sebahagian tetamu yang hadir bergambar bersama peserta pada Malpcidac di PSIS di sini.
A
A
A

SUNGAI LANG - Politeknik Seberang Perai (PSP) muncul juara keseluruhan pada Pertandingan Perkhemahan Tahunan Keenam Politeknik Pertahanan Awam Malaysia (Malpcidac) 2019.

Kejayaan itu diraih selepas pasukan itu menduduki tempat pertama bagi kategori pertandingan kemahiran dan tempat ketiga bagi kategori kawad kaki.

Pertandingan yang berlangsung di Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) selama empat hari itu, menyaksikan juara tahun lalu, Politeknik Sultan Haji Ahmad SHAH (Polisas) sekadar di tempat kedua.

Polisas muncul naib juara dalam dua kategori iaitu pertandingan kemahiran dan orienteering.

Bagi tempat ketiga pula milik Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) yang meraih tempat pertama bagi kategori kawad kaki.

Sebanyak empat kategori dipertandingkan dalam Malpcidac iaitu kawad kaki, kemahiran, persembahan dan orienteering.

Seramai 327 peserta termasuk jurulatih dan pegawai pengiring dari 13 politeknik seluruh negara menyertai Malpcidac 2019

Kesemua hadiah itu disampaikan Ketua Pesuruhjaya Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Datuk Roslan Wahab.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya, Roslan berkata, perkhemahan tahunan itu merupakan inisiatif menghimpunkan anggota Pasukan Institut Pertahanan Awam (Pispa) seluruh negara.

"Selain itu, kita turut menyelitkan pertandingan bagi menguji ketahanan mental dan fizikal serta jadi diri setiap peserta," katanya.

Beliau memberitahu, setiap pasukan yang mengambil bahagian mempunyai objektif sama bagi memastikan kemenangan dalam acara dipertandingkan.

"Namun, di sebalik semangat bergelar juara, aspek dan nilai integrasi serta kerjasama antara politeknik ini dapat dikekalkan sekali gus ditingkatkan," katanya.