X

Kindly register in order to view this article
!

Internet kini nadi jadi penggerak pelbagai sektor

Gambar hiasan
A
A

KEHIDUPAN terus dipermudahkan oleh Internet dengan semuanya kini di hujung jari sahaja.

Membayar bil, membeli-belah, melanggan perkhidmatan termasuk ‘e-hailing’ pengangkutan atau memesan makanan - semuanya boleh dilakukan menerusi pelbagai aplikasi Internet.

Internet juga membolehkan hubungan jarak jauh ‘didekatkan’ malah komunikasi tidak lagi terhad kepada suara semata-mata sebaliknya dapat melihat wajah serta aktiviti satu sama lain.

Usahawan dalam talian pula muncul bagaikan cendawan tumbuh kerana sesiapa sahaja boleh berniaga dan menjana pendapatan melalui platform media sosial seperti Facebook dan Instagram.

Impak survival

Pensyarah dan Penyelidik di Advanced Communication Research Unit (ACRU), Pusat Pengajian Teknologi Multimedia & Komunikasi, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Mohd Khairie Ahmad berkata era milenium yang digagaskan oleh teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) memberi impak besar terhadap corak dan nilai survival hidup masyarakat.

Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 1995, Internet dengan kapasiti jalur lebar menjadi wadah asas dalam pelbagai sektor dan data penggunaan Internet jalur lebar menunjukkan tahap penembusan yang agak tinggi.

“Statistik suku keempat 2018 yang dikeluarkan Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi Malaysia (MCMC) mencatatkan kadar penembusan 121.1 peratus bagi setiap 100 penduduk. Angka ini memberi tafsiran bahawa wujud keadaan di mana seorang penduduk memiliki lebih daripada satu akses jalur lebar.

“Jika begini situasinya, jalur lebar dapat disifatkan sebagai komoditi serta penggerak penting dalam urusan setiap sektor negara. Ia bukan sahaja medium atau perantara berkomunikasi tetapi merupakan aset perniagaan,” katanya kepada Bernama.

Kemudahan yang dinikmati itu merupakan inisiatif Koridor Raya Multimedia (MSC) yang diilhamkan Tun Dr Mahathir Mohamad semasa menjadi perdana menteri keempat kira-kira 23 tahun lalu.

Mohd Khairie mengakui manfaat jalur lebar kepada masyarakat di pelbagai peringkat namun, perkara yang sering menjadi isu adalah jurang digital.

Ketika Internet dilihat berupaya merapatkan jurang maklumat, komunikasi serta sosial, pada masa sama ia juga berpotensi melebar atau meningkatkan ketidakseimbangan sosioekonomi.

Beliau berpendapat perubahan dasar dan penstrukturan semula agenda telekomunikasi negara didapati berkesan dalam menyediakan data lebih pantas dengan kapasiti boleh diakses di semua kawasan atau dalam istilah lain merapatkan jurang internet antara kawasan bandar dan pedalaman.

Ini hasil kepimpinan Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang memberi tumpuan kepada penyediaan perkhidmatan jalur lebar yang mampu dinikmati dan berbaloi untuk semua golongan.

“Menurut laporan Speedtest Global Index oleh Ookla (peneraju rangkaian mudah alih dan jalur lebar global) pada penghujung 2018, kelajuan muat turun jalur lebar Malaysia meningkat sebanyak tiga kali ganda dengan kelajuan sekitar 63.4Mbps berbanding 22.26Mbps pada 2017,” katanya.

Mohd Khairie juga menyarankan kerajaan supaya memperkenalkan dasar penetapan kelajuan perkhidmatan jalur lebar untuk memastikan kelajuan sewajarnya disediakan oleh pembekal perkhidmatan, seperti yang telah dilaksanakan di beberapa negara maju.

“Contohnya di Amerika Syarikat di mana kelajuan ditetapkan di antara 4 hingga 25 Mbps, United Kingdom 10 hingga 24 Mbps, Kanada pula sekurang-kurangnya 50 Mbps dan Australia pada 25 hingga 50 Mbps.

“Usaha-usaha sebegitu berpotensi menjadikan agenda jalur lebar sebagai suatu yang bersifat kalis jurang digital,” jelasnya.

Industri 4.0 dan 5G

Kelajuan Internet sebagai intipati penting dalam menghadapi Revolusi Industri 4.0 (Industri 4.0) pula memperlihatkan gabungan teknologi automasi serta maklumat dan komunikasi yang berupaya menghasilkan sesuatu secara cekap dan pintar.

Beliau berkata sesuatu itu terhasil atau dapat berfungsi berteraskan maklumat yang diperoleh atau yang dikesan dari persekitaran.

Kepintaran buatan, Internet benda, pengkomputeran awan dan data raya adalah fenomena yang menyokong Industri 4.0 dan kesemuanya memerlukan teknologi Internet yang luas akses serta berkelajuan tinggi.

Mohd Khairie berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia bertindak tepat dengan melaksanakan lonjakan Teknologi Mudah Alih Generasi-5 (5G) di Malaysia bagi melestari ekonomi dan pembangunan negara.

“Teknologi 5G perlu dilihat bukan sahaja sebagai memenuhi corak semasa teknologi dunia tetapi merupakan komoditi yang dapat memperkasa pertumbuhan industri kecil dan sederhana Malaysia. Komitmen kerajaan terhadap 5G boleh disifatkan sebagai langkah strategik yang berpotensi menarik pelaburan asing.

“Sejak diperkenal pada penghujung 2018, hanya Korea Selatan dan Amerika Syarikat yang mengkomersialkan teknologi ini. Justeru itu, dengan adanya 5G, internet berkelajuan tinggi sehingga 634Mbps kadar muat turun dalam bentuk mudah alih akan memberi manfaat yang lebih besar dan meluas,” katanya.

Beri galakan

Selain itu, beliau berpendapat lingkaran serta jaringan Internet jalur lebar masa kini menggantikan lingkaran jalan dan lebuh raya yang sebelum ini menjadi nadi penggerak ekonomi masyarakat.

“Menjadikan Internet jalur lebar sebagai prasarana asas setiap lapisan masyarakat adalah wibawa besar kerajaan hari ini. Dengan ledakan industri 4.0, jaringan jalur lebar tidak terhad kepada sektor tertentu sebaliknya harus dimanfaat secara holistik dalam aspek ekonomi, pendidikan, sosial, politik dan lain-lain.

“Kerajaan perlu memastikan teknologi ini benar-benar bersifat merakyat dan tidak hanya tertumpu di kawasan bandar atau pinggir bandar semata-mata kerana pelbagai sektor ekonomi di pedalaman khususnya pertanian boleh memanfaatkannya,” kata Mohd Khairie.

Hasil kajian kumpulan penyelidikannya menerusi Skim Geran Penyelidikan Jangka Panjang (LRGS) Kementerian Pendidikan dua tahun lepas mendapati usaha kerajaan sebelum ini untuk merakyatkan kemudahan Internet didapati kurang mencapai matlamat.

Beliau berkata di kawasan luar bandar contohnya, terdapat kemudahan seperti Pusat Internet Desa serta kampung tanpa wayar namun maklum balas daripada golongan belia menyatakan infrastruktur itu tidak berfungsi seperti yang diharapkan.

“Mengambil kira situasi berikut, saya berpendapat inisiatif itu perlu diperkasa kembali. Golongan muda bukan sahaja pengguna jalur lebar malah berkeupayaan untuk menggerak, mengurus dan menyelia inisiatif seperti pusat internet dan komuniti internet tanpa wayar.

“Geran atau dana pusat jalur lebar boleh diberikan kepada komuniti setempat khususnya di kawasan kepadatan penduduk golongan berpendapatan rendah. Galakan wajar diberi kepada institusi kerajaan serta separa kerajaan untuk melaksanakan jalinan komuniti dengan memberikan kongsi-akses jalur lebar.

“Kerajaan juga boleh mewujudkan insentif seperti pelepasan cukai kepada institusi korporat dan swasta yang menyediakan khidmat jalur lebar percuma kepada rakyat yang memerlukan,” katanya sambil memberitahu bahawa industri yang mendapat manfaat besar daripada infrastruktur jalur lebar haruslah menyumbang ke arah mengurangkan jurang digital di negara ini.

Menurutnya UUM turut menawarkan kemudahan Internet tanpa wayar percuma di beberapa lokasi sekitar Sintok dan Changloon sebagai khidmat kepada komuniti setempat.

Tanggungjawab individu

Mengenai teknologi 5G yang dikhuatiri boleh menggalakkan penyebaran berita palsu terutama melalui media sosial, Pengasas dan Presiden Dewan Media Sosial Malaysia Shahul Hameed Shaik Dawood berkata perbuatan itu adalah satu bentuk penyalahgunaan media.

Beliau berkata adalah tidak wajar menuding jari kepada teknologi sebaliknya mepersalahkan bagi perbuatan itu, sebaliknya meningkatkan lagi kesedaran individu supaya lebih bertanggungjawab.

“Pembangunan negara memerlukan sikap pengguna yang bertanggungjawab selain pemantauan berterusan. Rakyat perlu lebih berhemah dan beretika dalam penggunaan media sosial.

“Teknologi 5G bertujuan mempermudahkan penggunaan media sosial...ia mampu mencerna kreativiti daripada pelbagai dimensi terutama dalam kalangan generasi muda serta membantu generasi milenial melahirkan inovasi bertaraf antarabangsa,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu menerima baik teknologi 5G bagi memperkasa generasi muda dalam menjana pendapatan menerusi pelbagai sektor perniagaan khususnya perkhidmatan termasuk pembangunan teknologi futuristik.

Shahul Hameed yang juga pengasas dan presiden MyEvents International berkata syarikat pengurusan acara itu juga merupakan perintis dalam menganjurkan pelbagai forum bertaraf antarabangsa.

“Selain sentiasa mengaplikasi pelbagai teknologi terkini dalam mengendalikan urusan perniagaan, melalui penganjuran Minggu Media Sosial khususnya, MyEvents International turut berkongsi kaedah penggunaan teknologi terkini dari seluruh pelusuk dunia.

“Rangkaian perniagaan mampu berkembang pesat jika pengguna tahu memanfaatkan pelbagai kaedah teknologi terkini,” katanya. - Bernama