Tragedi MH17: EU gesa Rusia beri kerjasama

Sistem peluru berpandu BUK buatan Rusia didakwa telah menembak jatuh MH17 di ruang udara Ukraine.
Sistem peluru berpandu BUK buatan Rusia didakwa telah menembak jatuh MH17 di ruang udara Ukraine.
A
A
A

BRUSSELS - Pemimpin Kesatuan Eropah (EU) memberi tekanan antarabangsa baharu ke atas Rusia berhubung insiden pesawat MH17 ditembak jatuh pada 2014.

EU menegaskan mereka menggesa Moscow untuk memberi kerjasama sepenuhnya terhadap siasatan dibuat Belanda yang membawa kepada pendakwaan terhadap empat individu.

Kelmarin, penyiasat antarabangsa mendakwa tiga lelaki Rusia dan seorang warga Ukraine atas tuduhan membunuh 298 mangsa penumpang yang menaiki penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika kejadian kira-kira lima tahun lalu.

Pasukan penyiasat diketuai Belanda memberitahu waran tangkap antarabangsa telah dikeluarkan ke atas tiga warga Rusia, Igor Girkin, Sergegi Dubinsky dan Oleg Pulatov serta rakyat Ukraine, Leonid Kharchenko yang dipercayai ada kaitan dengan kumpulan pemisah Republik Rakyat Donetsk.

Keempat-empat mereka didakwa bertanggungjawab membawa sistem peluru berpandu BUK yang menembak jatuh MH17 walaupun tidak melancarkannya.

Perbicaraan di Netherlands itu dijadualkan bermula pada Mac tahun depan.

Moscow bagaimanapun mengecam tuduhan yang didakwa tidak berasas ke atas kesemua suspek tersebut yang mempunyai kaitan dengan tentera dan unit risikan.

Pemimpin kerajaan EU pada sidang kemuncak di Brussels memaklumkan mereka menyokong tuduhan jenayah melibatkan tragedi MH17 yang ditembak jatuh dengan misil di ruang udara wilayah timur Kiev.

Artikel Berkaitan:

"Majlis Eropah mengulangi sokongan penuh bagi segala usaha untuk menegakkan kebenaran, keadilan dan akauntabiliti bagi para mangsa penumpang dan waris keluarga mereka," menurut kenyataan rasmi sidang kemuncak tersebut.

Gesaan itu dibuat selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Mike Pompeo menegaskan Moscow perlu memastikan mereka yang didakwa dihadapkan ke muka pengadilan.

Difahamkan, hubungan antara EU dan Rusia semakin dingin selepas konflik di timur Ukraine yang meragut sekurang-kurangnya 13,000 nyawa. - AFP