Beruk mudah berubah sikap dan ‘naik seh’

Pok Long Setia berpengalaman melatih kira-kira 200 ekor beruk.
Pok Long Setia berpengalaman melatih kira-kira 200 ekor beruk.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Beruk akan berubah sikap dan ‘naik seh’ atau ‘naik minyak’ bukan sahaja ketika ingin mengawan, tetapi bergantung pada persekitaran dan ‘mood’ haiwan itu.

Setia Mohd, 73, atau dikenali sebagai Pok Long Setia yang berpengalaman selama 30 tahun menjadi pelatih beruk berkata, haiwan itu akan berubah sikap sehingga tiga kali sehari, iaitu pada waktu pagi, tengah hari dan petang.

Sepanjang tempoh itu katanya, dia sama sekali tidak akan mendekati haiwan berkenaan kerana tempoh ‘naik minyak’ itu amat berbahaya untuk didekati, walaupun kepada orang yang terdekat atau pemilik beruk itu.

“Kalau beruk mula membunyikan mulut seperti mengunyah dan ‘mengembangkan’ bulunya, ketika itu dia mula berubah sikap dan tak kenal siapa. Ibaratnya kalau orang mabuk, dia tengah pening.

“Beruk juga tidak boleh sentiasa dikurung dan tidak dibawa keluar kerana ia cepat bosan dan marah. Sebab itu apabila beruk mula marah, keadaan boleh bertukar buruk sehingga boleh mengancam nyawa,” katanya.

Menceritakan pengalamannya melatih hampir 200 ekor beruk sebelum ini, Pok Long Setia berkata, dia mengajar beruk untuk memetik kelapa.

Walaupun ramai yang datang menghantar beruk untuk dilatih, namun dia hanya akan memilih beruk yang bersesuaian kerana tidak semua beruk boleh diajar.

Artikel Berkaitan:

Setia Mohd
Setia Mohd

“Kalau nak ajar beruk ni kena pandai tengok ‘mood’, tingkah laku, fizikal dan macam-macam lagi, kalau silap pilih, saya yang susah sebab ada beruk yang jenis tak makan saman (tak dengar arahan).

“Beruk yang muda lebih sesuai untuk dilatih, yang berusia kurang setahun. Beruk dewasa agak susah untuk dilatih sebab sudah bertaring, sukar untuk kawal kalau binatang itu sudah berani melawan,” katanya yang sudah dua tahun berhenti melatih beruk atas faktor kesihatan.

Sepanjang membela dan melatih beruk, Pok Long Setia mengakui pernah beberapa kali dicederakan, namun ia hanya melibatkan luka kecil.

Jelasnya, walaupun beruk lebih sinonim dengan sifatnya yang agresif, beruk juga akan jinak dan mempunyai sifat penyayang, terutama kepada tuannya.

Antara pengalaman yang paling tidak dapat dilupakannya adalah apabila rakannya ingin menepuk bahu Pok Long Setia, namun beruk peliharaannya menyambar tangan rakannya kerana menyangka tuannya itu hendak dicederakan.

Beliau turut menasihati agar orang ramai tidak membela beruk, kecuali jika benar-benar perlu dan mampu menjaganya dengan baik.

“Orang kalau nak main (bela) beruk ni, kalau rasa nak main lebih kurang, jangan main. Beruk memang susah dikawal sebab ia tetap binatang. Kalau terputus rantai, ia boleh mendatangkan masalah kepada orang lain.

“Rantainya saya gunakan jenis keluli kerana ia lebih kuat, dan akan periksa sebulan sekali bimbang jika rantai sudah haus. Nak bela beruk juga kerana ada lesen, sebab itu kalau nak bela beruk, kena jaga betul-betul,” katanya.

Pok Long bersama salah seekor beruk yang pernah dilatihnya.
Pok Long bersama salah seekor beruk yang pernah dilatihnya.