Kes culik di Tambisan: Jaimah hilang suami, anak

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - "Saya sudah hilang suami dan satu-satunya anak saya selepas mereka diculik," kata Jaimah Ajirul, isteri kepada seorang daripada mangsa culik di perairan Tambisan, Lahad Datu Selasa lepas.

Jaimah, 52, berkata suaminya Mohd Harun Asparin, 55, atau dikenali sebagai Apak ke perairan Tambisan pada Ahad lalu selepas mendapat arahan daripada majikannya untuk turun ke laut, bekerja.

"Anak saya Yusri atau Ekong, 16, juga ikut bapanya turun ke laut untuk membantu menambah pendapatan keluarga

Dia mula ikut bapanya sejak tiga bulan lalu," kata Jaimah ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Batu di sini, hari ini.

Jaimah berkata dia kini turut hilang sumber pendapatan selepas suami serta anaknya diculik.

Menurutnya lagi, dia hanya berserah kepada ALLAH mengenai nasib dirinya serta keselamatan suami dan anak.

"Saya hanya mengikuti perkembangan kes ini daripada berita-berita yang dilaporkan, saya tidak tahu mahu bergantung harap dengan siapa lagi," katanya dengan sedih.

Sementara itu, seorang lagi isteri mangsa culik yang kini sarat mengandung lapan bulan berharap suaminya, Kassim Ablain, 21, pulang sebelum zuriat sulung mereka dilahirkan Julai ini.

Artikel Berkaitan:

Noraini Gamal, 17, yang ditemui di Kampung Selamat di sini, berkata dia tidak lalu makan memikirkan keadaan suami yang kini tidak diketahui di mana selepas insiden penculikan itu.

"Saya tidak lalu makan kerana sedih memikirkan nasib suami yang sepatutnya pulang pada hari kejadian (Selasa lepas)," katanya yang mendirikan rumahtangga dengan Kassim, Mac tahun lepas.

Noraini berkata kali terakhir berjumpa suaminya itu adalah sebelum berangkat ke Tambisan Lahad Datu dan sempat merayakan Hari Raya Aidilfitri selama empat hari bersamanya dengan gembira.

"Tidak sangka kejadian seperti ini akan berlaku dalam hidup kami, kami bukannya orang kaya sampai mahu kena culik, sebab itu kami harapkan ihsan kerajaan untuk membantu kami membebaskan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Nasra Nuli, 26, kakak kepada Abdul Nasir Nuli, 21, (Inai) iaitu seorang lagi mangsa culik berkata ibu mereka pengsan selepas mendapat perkhabaran Inai diculik.

"Ibu saya kini sakit, sebelum dia (Inai) diculik, dia selalu suruh Inai cepat balik ke Semporna, tapi tidak sangka dia diculik," katanya.

Selain empat nelayan itu, enam lagi yang diculik ialah Abdul Nazar Ahmad (Bongosan); Ogan Utuk; Samsul Basil; Aslan Sapri; Kando dan Azmai Paisal (Memek).

Pada Selasa kira-kira 2 pagi, 10 daripada 16 nelayan yang menaiki dua bot diculik kumpulan bersenjata di perairan Tambisan, berhampiran Felda Sahabat. - Bernama