Ahli Bersatu Sabah semakin bertambah

No Image Caption
A
A
A

TUARAN - Ketua Penyelaras Bersatu Datuk Hajiji Noor yakin parti itu semakin kukuh di negeri ini sejak ditubuhkan pada April lepas.

Ini berikutan peningkatan keanggotaan baharu dari seluruh negeri ini terutama dari bekas ahli UMNO Sabah yang telah meninggalkan parti.

"Bersatu Sabah kini memiliki lebih daripada 140,000 anggota yang sah dan dijangka meningkat ke 200,000 orang pada hujung tahun. Lebih kurang 100,000 anggota baharu masih dalam proses untuk didaftarkan sebagai anggota.

“Saya amat yakin sokongan terhadap Bersatu semakin kukuh di negeri ini dari semasa ke semasa berikutan maklum balas memberangsangkan yang diterima khususnya daripada anak muda,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di sini, hari ini.

Turut hadir bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman, Timbalan Penyelaras Bersatu Sabah Datuk Masidi Manjun dan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mengenai dakwaan sekumpulan individu bahawa mereka merupakan yang awal menubuhkan Bersatu di Sabah, Hajiji yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Sulaman berkata beliau tidak mengenali pemimpin yang mengetuai kumpulan itu.

Beliau berkata pada hakikatnya Bersatu di Sabah secara rasmi diumumkan penubuhannya oleh Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad pada Februari lepas dan dilancarkan pada April lepas.

"Sebelum Bersatu dilancarkan di negeri ini, kami merupakan wakil rakyat bebas selepas keluar dari UMNO dan bukannya menyertai Bersatu selepas keluar UMNO.

Artikel Berkaitan:

"Kami memenuhi syarat sebagai wakil rakyat Bebas dan memohon menyertai Bersatu. Kami memenuhi syarat kelayakan yang ditetapkan oleh Bersatu," kata Hajiji.

Berhubung kehadiran Musa pada majlis itu, Hajiji berkata sesiapa sahaja boleh hadir pada majlis tersebut dalam suasana Hari Raya Aidilfitri dan Musa hadir sebagai sahabat dan bekas ketuanya.

"Kami kekal sebagai sahabat, lebih-lebih lagi sama-sama dalam politik. Saya melayan dan menghormati pengunjung yang hadir terutama kepada pemimpin kita yang telah banyak berjasa," kata Hajiji. - Bernama