Pelajar SSP Cyberjaya berlepas ke Beijing hadapi saingan WSC 2019

Pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
Pelajar Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya berlepas ke Beijing dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.
A
A
A

SEPANG - Lima pasukan debat terdiri daripada 15 pelajar Sekolah Seri Puteri (SSP), Cyberjaya berlepas ke Beijing, China bagi menyertai Pertandingan World Scholar's Cup (WSC) 2019 yang berlangsung mulai esok hingga 26 Jun ini.

Menurut Pengerusi Kumpulan Sokongan Ibu Bapa SSP, Datuk Wan Jamaluddin Wan Abdul Malik, pertandingan itu merupakan lanjutan penglibatan dan kemenangan SSP dalam kejohanan debat peringkat wilayah di WSC di Kuala Lumpur yang diadakan pada Mac lalu.

“Kumpulan pelajar ini telah memenangi beberapa kategori di peringkat wilayah WSC dan terpilih untuk bersaing di Beijing. Saya harap mereka akan menang lagi kerana ini adalah penyertaan mereka kali kedua setelah SPP menyertai pertandingan yang sama pada 2013.

“Jika menang di Beijing nanti, mereka akan layak untuk menyertai Tournament of Champion di Amerika Syarikat (AS) pada November depan,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Sementara itu, guru pengiring, Malissa Mohd. Kamal berkata, WSC adalah platform untuk pelajar mempamerkan kebolehan masing-masing mereka di persada antarabangsa.

Katanya, pertandingan itu disertai banyak negara dan pelajar akan mendapat pendedahan terbaik untuk bersaing ke peringkat yang lebih tinggi.

"Saya yakin persediaan pelajar-pelajar berada pada tahap terbaik dan hanya menunggu detik pertandingan bermula sahaja.

"Kita mula berlatih sejak bulan Ramadan lagi dan apa yang kita lihat pelajar-pelajar ini sanggat bersemangat dan tekun membuat persiapan. Mereka berlatih lima jam sehari.

Artikel Berkaitan:

"Tujuan penyertaan pelajar pada pertandingan ini adalah untuk menguji keupayaan pendebat SSP di lapangan antarabangsa di samping dapat menimba seberapa banyak pengalaman,” katanya.

Sementara itu, ketua pelajar terbabit, Myira Amani, 15, berharap ada kumpulan SSP dapat meraih kemenangan dan layak untuk ke peringkat Tournament of Champion.

“Di WSC 2019 kami dibahagikan kepada lima kumpulan dan akan bersaing dalam semua kategori iaitu debat, pengetahuan am dan kemahiran menulis dalam bahasa Inggeris,” katanya.