Tetak wanita hingga maut, polis tahan warga Indonesia

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KEPALA BATAS - Polis menahan seorang lelaki Indonesia bagi membantu siasatan kes seorang wanita maut manakala dua lelaki yang juga rakan sekerjanya cedera parah dalam kejadian tetak di kilang pemborong makanan sejuk beku di Kampung Selamat dekat sini Rabu lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Seri A Thaiveegan berkata sepasukan polis diketuai pegawai penyiasat Asisten Komisioner Mohd Azman Md Safar yang menjalankan risikan dan intipan berjaya mengesan lelaki berusia 31 tahun itu di sebuah kondominium di Petaling Jaya, Selangor sebelum menyerbu kawasan berkenaan dan menahan suspek kira-kira pukul 3.30 pagi tadi.

"Berdasarkan siasatan, lelaki yang bekerja sebagai pemotong daging di kilang tersebut sedang memotong daging di dalam bilik sejuk beku premis berkenaan sebelum berlaku pertengkaran dengan wanita yang maut dalam kejadian tersebut.

"Mereka dipercayai bergaduh berkaitan wang iaitu suspek mahu meminjam duit daripada pemilik kilang yang juga abang kepada wanita itu melalui mangsa sebelum lelaki terbabit bertindak menetak wanita menggunakan pisau pemotong daging yang sedang digunakannya ketika itu," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa Sia Seok Kee, 44, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kepala Batas manakala dua lagi mangsa berusia 14 dan 17 tahun mengalami kecederaan parah dan dalam keadaan kritikal selepas diserang seorang lelaki yang bersenjatakan pisau.

Thaiveegan berkata suspek turut bertindak menetak dua lelaki iaitu anak si mati dan anak saudaranya ketika mereka cuba menyelamatkan wanita itu sebelum dia melarikan diri menggunakan sebuah motosikal milik anggota keluarga pemilik kilang tersebut.

Katanya lelaki itu kemudiannya meninggalkan motosikal ditunggangnya tidak jauh dari kawasan kilang dan menaiki sebuah teksi dari Butterworth ke Petaling Jaya dipercayai untuk berjumpa isterinya yang bekerja di sana sebelum mereka bersama-sama mahu melarikan diri dari negara ini.

"Berikutan penahanan lelaki itu, polis percaya dapat menyelesaikan kes berkenaan dan kami akan melengkapkan kertas siasatan secepat mungkin sebelum menyerahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya dua remaja lelaki yang cedera dalam kejadian itu masih dirawat di Hospital Seberang Jaya dan sudah menunjukkan perkembangan positif termasuk mula bercakap dan makan serta minum.

Beliau berkata lelaki yang bekerja lebih setahun di kilang itu kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan dan kes berkenaan disiasat menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.- Bernama.