APM terima 13 kes ribut, tujuh kes pokok tumbang

Pokok tumbang akibat ribut di hadapan SMK Kepala Batas semalam.
Pokok tumbang akibat ribut di hadapan SMK Kepala Batas semalam.
A
A
A

ALOR SETAR - Hujan lebat berterusan disusuli angin kencang selama 30 minit menyebabkan kejadian pokok tumbang dan ribut di sekitar daerah ini.

Pegawai Pertahanan Awam Kota Setar, Kapten (PA) Mohd Zain Bahrum berkata, Angkatan Pertahanan Awam (APM) menerima 20 kes sehingga jam 3 petang semalam akibat hujan lebat diikuti angin kencang itu.

Menurutnya, 13 kes yang dilaporkan membabitkan kejadian ribut, manakala tujuh lagi kes melibatkan pokok tumbang dalam kejadian antara 8.30 hingga 9 pagi itu.

“Antara kawasan terlibat ribut ialah Kampung Permatang Bongor, Kampung Sala Kecil, Kampung Sungai Bar, Kampung Alor Pial, Kampung Sematang dan Kampung Kota Rentang.

“Kejadian ribut turut dilaporkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai, namun tiada kecederaan serius dan pelajar sudah dibenarkan pulang,” katanya.

“Malah, kejadian ribut turut dilaporkan di SK Seri Pantai, Kampung Kilang Ais, Kampung Tengah, Taman Harapan, Kampung Titi Gajah, Kampung Permatang Kankong dan Kampung Sematang Bogak.

Menurutnya, kes pokok tumbang dilaporkan di beberapa kawasan, seperti Kampung Seberang Alor, Hutan Kampung, Jalan Hutan Kampung, Kampung Hujung Mergong, hadapan SK Seri Gunung dan Lorong Tepi Lebuhraya Jalan Bukit Pinang.

Bagaimanapun, katanya, tiada mangsa dilaporkan perlu berpindah berikutan kejadian hujan lebat dan angin kencang di kawasan terlibat.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya lagi, sepasukan anggota APM Kota Setar melakukan kerja memotong dan membersih pokok tumbang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kepala Batas, di sini.

Katanya, APM mengambil masa kira-kira satu jam untuk melakukan kerja itu dan tiada mangsa ataupun kenderaan terlibat dalam kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, katanya, anggota APM Kota Setar sentiasa bersiap sedia jika berlaku bencana pada masa ini.