Pelajar politeknik maut dilanggar bas

Pelajar Politeknik Balik Pulau maut dilanggar bas selepas terjatuh dari motosikal di Kuala Kangsar hari ini.
Pelajar Politeknik Balik Pulau maut dilanggar bas selepas terjatuh dari motosikal di Kuala Kangsar hari ini.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang pelajar Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang maut dilanggar bas selepas terjatuh dari motosikal ditungganginya di KM246.8 Lebuhraya Utara Selatan arah Selatan di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, Anas Genari @ Azhari, 20, berasal dari Bandar Bera, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialaminya.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, siasatan awal mendapati mangsa sedang menunggang motosikal jenis SYM 135 dalam cuaca hujan lebat.

“Semasa menunggang, dipercayai motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan ketika brek untuk mengelak dari melanggar belakang sebuah kereta yang berada di lorong kiri.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa terjatuh dan menggelongsor ke lorong kanan. Bas ekspres yang sedang bergerak cuba mengelak namun gagal lalu melanggar mangsa,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

“Punca kematian belum ditentukan berikutan bedah siasat akan dijalankan esok.

“Pemandu bas berusia 54 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan telah diambil keterangannya.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.