Peniaga rugi RM10,000 terpedaya 'kuasa' batu delima tarik duit

Kama Azural (tengah) menunjukkan barang rampasan yang telah ditemui selepas menahan suspek di rumahnya di Jalan Kemaman, Kuantan, 14 Jun lalu.
Kama Azural (tengah) menunjukkan barang rampasan yang telah ditemui selepas menahan suspek di rumahnya di Jalan Kemaman, Kuantan, 14 Jun lalu.
A
A
A

KUANTAN - Akibat terpedaya dengan 'kuasa' yang ada pada batu delima menyebabkan seorang peniaga kedai runcit berputih mata mengenangkan ditipu RM10,000 pada 25 Mei lalu.

Lelaki berumur 43 tahun itu ditipu setelah dia dan isterinya yang berumur 40 tahun bertemu dengan seorang lelaki warganegara Indonesia yang didakwa bomoh atas tujuan melakukan perubatan tradisional.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan, Superintendan Kama Azural Mohamed berkata selepas berubat, mangsa telah ditawarkan oleh bomoh tersebut dengan sebiji delima berwarna merah bernilai RM10,000 yang dikatakan mampu menjadi ibu duit dan akan menjadi banyak dengan sendirinya.

Menurutnya, mula tertarik selepas mangsa dan isterinya ditunjukkan satu tin berisi penuh wang berjumlah RM100 dan mangsa akhirnya membeli batu tersebut.

"Mangsa kemudiannya telah diberikan empat tin biskut namun diberi syarat oleh suspek supaya tidak membuka tin tersebut selepas enam hari.

Polis menunjukkan batu delima yang didakwa mempunyai 'kuasa' tarik duit.
Polis menunjukkan batu delima yang didakwa mempunyai 'kuasa' tarik duit.

"Dan apabila mangsa membuka tin tersebut selepas enam hari mendapati kesemua tin tersebut dipenuhi dengan sampah dan telah melaporkan kepada pihak polis," katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.

Namun, Kama Azural berkata hasil tindakan anggota risikan dan operasi Bahagian Siasatan Jenayah Komersial IPD Kuantan telah berjaya menahan suspek yang berusia 46 tahun itu di rumah sewanya di Jalan Kemaman, Kuantan pada 14 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Hasil serbuan di rumah suspek, kita berjaya merampas banyak barang antaranya batu permata berwarna merah, satu laras senapang buatan sendiri yang boleh berfungsi, dan duit syiling lama.

"Kita percaya suspek sudah biasa melakukan penipuan tetapi di luar daerah ini dan dia telah berada di Kuantan selama tiga bulan dan merupakan kes pertama suspek.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan aktiviti penipuan bomoh sama ada pemujaan nombor ekor dan perkara yang khurafat.
Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan aktiviti penipuan bomoh sama ada pemujaan nombor ekor dan perkara yang khurafat.

"Hasil siasatan kita mendapati setelah penipuan dilakukan mangsa, terdapat pergerakan mangsa untuk melarikan diri namun kita dapat tangkap dan mereka sememangnya menggunakan cara menjual menggunakan batu delima dengan harga RM10,000 dan RM30,000," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata suspek kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1969.

Tambahnya, suspek kini direman selama 14 hari bermula 15 Jun sehingga 28 Jun bagi menjalankan siasatan lanjut membantu siasatan polis terhadap kes tersebut.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya dengan aktiviti penipuan bomoh sama ada pemujaan nombor ekor dan perkara yang khurafat.

"Janganlah kita mempunyai sikap tamak untuk memperoleh kekayaan melalui jalan mudah kerana ketamakan mangsa membuka peluang kepada sindiket penipuan memperdayakan mangsa," katanya.