Tiga sindiket edar dadah tumpas kurang 24 jam

Norzainy (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari tiga serbuan di Butterworth dalam tempoh 24 jam.
Norzainy (dua dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas dari tiga serbuan di Butterworth dalam tempoh 24 jam.
A
A
A

BUTTERWORTH- Tiga sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan menerusi serbuan berasingan yang dilakukan di sekitar bandar ini dalam tempoh kurang 24 jam bermula kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, empat lelaki ditahan bersama pelbagai jenis dadah bernilai keseluruhan RM159,840 dalam ketiga-tiga serbuan tersebut.

Menurutnya, mereka yang ditahan berusia 22 hingga 36 tahun.

"Dalam serbuan jam 3.30 petang di Jalan Raja Uda semalam, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan bersama-sama dadah jenis ketamin seberat 740 gram serta 370 biji pil ekstasi dan (280) pil Eramin 5 bernilai RM126,300.

"Serbuan berikutnya adalah pada jam 3 pagi hari ini (semalam) iaitu di sebuah pangsapuri di Taman Sukaria. Dalam serbuan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 36 tahun bersama dadah disyaki heroin seberat 452 gram bernilai RM22,600," katanya pada sidang media tadi.

Beliau berkata, dalam tempoh sejam berikutnya, pihaknya menahan dua lagi lelaki berusia 22 dan 24 tahun dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Mak Mandin.

"Dalam serbuan itu, kita merampas 459.5 gram dadah disyaki ganja dan 35 gram heroin bernilai keseluruhannya RM10,940. Siasatan mendapati, ketiga-tiga serbuan ini tiada kaitan antara satu sama lain.

"Bagaimanapun, ketiga-tiga sindiket ini dipercayai mengedar dadah di sekitar negeri ini. Kesemua suspek direman tujuh hari sehingga Rabu ini untuk siasatan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.