KPLB Sabah laksana kursus pengurusan, pentadbiran MPKK

Datuk Ewon Benedick
Datuk Ewon Benedick
A
A
A

KOTA KINABALU - Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah melaksanakan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bermula bulan ini merangkumi kesemua daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah.

Menterinya, Datuk Ewon Benedick berkata, kursus itu merupakan antara pengisian utama bagi memperkasakan kepimpinan dan urus tadbir MPKK di seluruh Sabah.

"Sebagai permulaan, kursus pertama pada penggal ini diadakan bagi kawasan DUN Kadamaian dan akan disusuli oleh daerah Keningau dan Lahad Datu. Pelaksanaannya telah pun dijadualkan merangkumi semua daerah dan kawasan DUN yang mempunyai MPKK," katanya ketika merasmikan penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK Kawasan DUN Kadamaian di sini, hari ini.

Menurutnya, selepas selesainya kursus ini, pimpinan MPKK boleh mengemas kini profail kampung masing-masing supaya dapat dimasukkan dalam Sistem Digital Profail Kampung kelak.

Katanya, ini membolehkan ia digunakan untuk menguruskan permohonan Geran Pembangunan MPKK sebanyak RM10,000 yang disediakan oleh KPLB persekutuan.

Ewon yang juga ADUN Kadamaian turut menggesa supaya MPKK Kota Belud memberi kerjasama terbaik kepada Pegawai Daerah Kota Belud, Diyanah Abdullah, satu-satunya pegawai daerah wanita di negeri ini dalam menguruskan pelaksanaan pembangunan di daerah itu.

"Saya berharap kesemua MPKK dapat memberikan kerjasama kepada beliau dan juga kepada ketua-ketua jabatan lain di Kota Belud bagi sama-sama berusaha dan bekerjasama menguruskan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh rakyat," kata Ewon. - Bernama

Artikel Berkaitan: