Yayasan kanser bantu 1,368 pesakit

Foto Facebook Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation
Foto Facebook Tunku Laksamana Johor Cancer Foundation
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor (YKTLJ) telah memperuntukkan dana sebanyak RM6.35 juta bagi membantu 1,368 pesakit kanser di seluruh negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif YKTLJ, Mohd Shahrin Rahmat berkata bantuan dihulurkan kepada pesakit meliputi bantuan peralatan, ubat-ubatan dan rawatan.

"Bermula Ogos 2016 hingga April lalu kita telah memperuntukan sebanyak RM6.35 juta untuk bantu pesakit kanser di Johor dan diharapkan bantuan itu dapat melahirkan senyuman dalam kalangan pejuang kanser serta keluarga.

"Yayasan sentiasa doakan supaya pesakit dapat sembuh," katanya ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Hari Raya YKTLJ di sini hari ini.

Dalam program itu, seramai 125 pesakit kanser yang terdiri daripada 42 kanak-kanak dan 83 dewasa menerima sumbangan hari raya daripada yayasan dan Istana Johor yang disampaikan oleh Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah merangkap pengerusi yayasan.

Sementara itu ketika ditemui pemberita, Mohd Shahrin berkata, pelbagai program telah dirancang bagi meningkatkan kesedaran terhadap pencegahan kanser.

"Kita akan dekati komuniti supaya daripada peringkat awal dapat cegah dan kenal pasti simptom penyakit kanser. Lebih baik cegah daripada rawat.

"Kita sasarkan golongan B40 terutama yang ada sejarah kanser dalam keluarga. Kita akan dekati golongan ini sebab kebiasaannya kanser ini dalam keturunan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau sempat menasihatkan orang awam terutama wanita yang mempunyai sejarah pesakit kanser dalam keluarga agar segera membuat ujian saringan awal di hospital.