Ain Sufia gementar lalui proses bersalin

Ain Sufia
A
A

PELAKON dan pelawak, Ain Sufia, 32, mendedahkan dia berasa gementar untuk melalui proses bersalin gara-gara mendengar pengalaman orang lain melahirkan cahaya mata mereka.

Menurut Ain atau nama sebenarnya Nurul Ain Othman, tambah mendebarkan lagi apabila terbaca mengenai kepayahan perempuan bersalin.

"Dari awal dapat tahu saya hamil lagi memang sudah berdebar, lebih-lebih lagi bila kalau berjumpa dengan orang yang selalu berkongsi mengenai pengalaman mereka. Lebih buat saya takut sebab ada terbaca perkongsian netizen di Twitter betapa susahnya nak melahirkan anak.

"Sampaikan suami saya marah, katanya siapa suruh baca dan banyakan berdoa semoga semuanya dipermudahkan," ujar Ain kepada Sinar Harian.

Ditanya mengenai jantina anak, Ain yang kini hamil lima bulan masih belum mengetahuinya lagi.

"Lelaki atau perempuan saya tak pasti lagi kerana saya dan suami belum pergi berjumpa doktor untuk buat imbasan kehamilan.

"Orang yang berpengalaman ada lah cuba-cuba buat andaian. Ramai cakap anak perempuan, tapi ada juga cakap lelaki.

"Tak tahu yang mana satu, tunggulah bulan depan saya buat imbasan kehamilan," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai perkongsian tiga suntikan kesihatan yang dimuat naik semalam, Ain berharap kesakitan yang dialami sekarang cepat sembuh.

"Posting semalam tu saya pergi klinik dan doktor ambil darah dua kali dan satu untuk kancing gigi. Ambil darah untuk sebelum dan selepas minum air gula, masa suntikan ambil darah OK sahaja, cuma untuk kacing gigi buat saya lenguh tangan kanan.

"Bahkan, saya nak mengiring pun tak boleh, apatah lagi nak angkat barang berat. Jadi, saya harap sekejap sahajalah sakit ni," luahnya.

Ain yang juga merupakan penyampai radio Suria, selamat diijabkabulkan dengan Mohd Nor Mutalib, 33, pada 1 Februari lalu.