Moorthy eloklah berundur daripada terus bebankan PM

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sudah tiba masanya untuk Pengerusi Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf), P Waytha Moorthy menarik diri secara sukarela dari posisinya selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri daripada terus membebankan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Desakan itu disuarakan penulis blog The Scribe, Datuk A Kadir Jasin yang turut menyifatkan Moorthy telah menjadi salah satu watak yang telah memecahbelahkan bukannya menjadi menteri yang menjaga perpaduan nasional.

“Sekarang pun saya setuju dengan sentimen umum bahawa Moorthy telah hilang kelayakan dan kedudukan untuk terus menjadi menteri apatah lagi menteri yang menjaga perpaduan nasional.

“Beliau telah menjadi watak yang memecahbelahkan (divisive). Eloklah beliau menarik diri secara sukarela daripada membebankan Dr Mahathir walaupun Tun berkata, beliau “puas hati” dengan Moorthy.

“Minta maaflah kalau saya kata, Moorthy telah diberi peluang dan penghormatan amat tinggi menjadi anggota Kabinet tetapi mensia-siakannya,” katanya dalam entri terbaharunya di blog The Scribe, hari ini.

Beliau yang juga tokoh wartawan tanah air turut menyatakan punca tragedi yang menimpa anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya,Muhammad Adib Mohd Kassim bukanlah kesilapan Allahyarham memimlih kerja tetapi tragisnya adalah dia dibunuh ketika bertugas menyelamatkan nyawa serta harta benda dalam satu rusuhan ganas.

Trgedi hitam yang berlaku awal pagi 27 November lalu, Muhammad Adib parah dipercayai dipukul sekumpulan perusuh di hadapan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya.

Muhammad Adib dimasukkan ke unit jagaan rapi di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, kira-kira 1 pagi, sebelum dipindahkan ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, pada keesokan malamnya.

Artikel Berkaitan:

Lebih memilukan apabila pada 17 Disember lalu, disahkan meninggal dunia di IJN pada jam 9.41 malam.

Susulan kematian Muhammad Adib ketika sedang menjalankan tugas, Kadir menggesa tidak kira bangsa atau agama, si pelaku wajib diburu dan dijatuhi hukuman yang setimpal.

“Kita boleh terus membakar emosi kita dan jika kita orang yang tidak bertanggungjawab, kita juga boleh mengapi-apikan emosi orang lain atas nama Almarhum Adib.

“Tetapi, adakah itu yang kita mahu dan lebih-lebih lagi adakah itu yang Almarhum Adib mahu apabila dia memilih untuk menjadi anggota bomba dan penyelamat?

“Dalam apa pun pekerjaan yang kita pilih, mesti ada unsur risiko. Kalau tidak banyak, sikit mesti ada. Pasti Almarhum Adib tahu risikonya,” katanya.

Dalam pada itu, Kadir juga menyarankan keluarga Allahyarham Muhammad Adib dibantu.