Bukan zalim atau aniaya sesiapa

Mohamad Fariz
Mohamad Fariz
A
A
A

MANJUNG - Penguatkuasaan dan tindakan yang dijalankan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung membabitkan penerokaan haram tanah kerajaan bukanlah bersifat zalim mahupun menganiayai individu terlibat.

Pegawai Daerah Manjung, Datuk Mohamad Fariz Mohamad Hanip berkata, penguarkuasaan dan tindakan yang diambil merupakan peringatan serta langkah proaktif bagi mengajak rakyat untuk tidak sewenangnya meneroka tanah kerajaan.

"Ingin saya jelaskan bahawa penguatkuasaan bukan kezaliman atau penganiayaan ia bertujuan memurnikan serta memberi satu nilai tambah kepada satu kawasan terlibat dengan pembangunan.

"Sekiranya ada individu mahupun pihak yang berhasrat mempunyai perancangan pembangunan yang relevan dengan perancangan daerah mereka boleh mengemukakan syor serta pandangan kepada pejabat daerah untuk pertimbangan sewajarnya," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Mohamad Fariz, pihaknya memahami apabila berlaku penerokaan haram kos dikeluarkan dan perbelanjaan dibiayai pihak peneroka itu sendiri dan mereka sudah pasti merasa kehilangan bila ia diambil semula.

"Tapi bagi pihak pejabat daerah dan tanah kami perlu lakukannya kerana terdapat cadangan sesuatu pembangunan di kawasan terlibat untuk kepentingan awam bukan untuk kepentingan individu.

"Maka ada baiknya jika sesiapa berhasrat menggunakan sebarang tanah kerajaan boleh berunding atau mengemukakan syor kepada pejabat daerah terlebih dahulu supaya tidak bertindih dan merugikan apabila diteroka," katanya.

Mohamad Fariz berkata demikian bagi menjawab beberapa masalah penerokaan haram di beberapa kawasan rizab kerajaan serta keengganan peneroka yang mendirikan binaan di atas tanah berkenaan berundur demi pembangunan.

Artikel Berkaitan: