Video intim: Tiada keperluan Azmin bercuti, kata PM

Mohamed Azmin - FOTO ZAHID IZZANI
Mohamed Azmin - FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan, Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak perlu mengambil cuti sementara menunggu hasil siasatan polis berhubung video intim yang dikaitkan dengan dirinya.

Menurut Dr Mahahir, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali boleh meneruskan tanggungjawabnya seperti biasa dan tidak akan mengganggu siasatan.

"Mengapa? Mereka (polis) boleh teruskan (siasatan). Dia (Azmin) tidak akan menganggu kepada siasatan itu," katanya pada sidang akhbar selepas berakhir Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kementerian tamatkan perkhidmatan Haziq

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menyifatkan kes membabitkan Mohamed Azmin sebagai berbeza dan mendakwa ia telah dirancang untuk mengaibkan dan mendesak Timbalan Presiden PKR itu untuk bercuti.

"(Jika) ia siasatan terhadap salah laku atau jenayah, (maka) mereka boleh ambil cuti," kata Dr Mahathir.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan bahawa beliau tidak akan campur tangan dalam urusan dalaman parti PKR.

Mohamed Azmin sebelum ini yakin penularan video kontroversi membabitkan dirinya merupakan agenda politik pihak tertentu yang mahu menyekat kemaraan dan prestasinya dalam kerajaan serta bidang politik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sejak awal lagi beliau yakin bahawa perbuatan penyebaran video tersebut sebagai perbuatan 'gutter politic' dan fitnah yang berniat jahat serta memberitahu telah memberi keterangan mengenai video tersebut kepada pihak polis baru-baru ini.

Pada 12 Jun lalu, bekas pegawai kanan kepada seorang Timbalan Menteri membuat pengakuan mengejutkan apabila bersumpah dia ialah individu dalam klip video intim bersama seorang lelaki mirip seorang menteri Kabinet.

Haziq Abdullah Abdul Aziz, 27, memuat naik video pengakuan itu berdurasi 30 saat itu di akaun Facebooknya dan turut menamakan seorang menteri yang juga pemimpin kanan sebuah parti kerajaan terlibat.

Haziq berkata, perlakuan itu dirakam tanpa pengetahuannya pada 11 Mei lalu di Hotel Four Points di Sandakan, Sabah ketika Pilihan Raya Kecil Parlimen Sandakan.