Isu Zamri Vinoth: Pemuda Pas mohon maaf

No Image Caption
A
A
A

KUANTAN - Pemuda Pas memohon maaf kepada Pas Perlis kerana tidak sensitif apabila menjemput pendakwah, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berucap dalam majlis perasmian Muktamar Pemuda Pas, semalam.

Naib Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden menjelaskan, Pemuda Pas menjemput Muhammad Zamri atas kapasiti dia sebagai protege pendakwah warganegara India, Dr Zakir Naik dengan niat menyatakan sokongan kepada pendakwah antarabangsa tersebut.

Bagaimanapun katanya, Pemuda Pas tidak mengetahui ada isu khusus melibatkan Pas Perlis dengan Muhammad Zamri.

“Pemuda Pas jemput Muhammad Zamri atas kapatisi protege Dr Zakir Naik sebab kita nak nyatakan sokongan kepada beliau (Zakir).

“Apabila Muhammad Zamri hadir ke Muktamar Pemuda Pas, ada permintaan kawan-kawan untuk dia berucap, tanpa kita mengetahui ada isu khusus melibatkan Pemuda Pas Perlis,” katanya ketika berucap dalam Muktamar Pemuda Pas ke-60, di sini hari ini.

Afnan Hamimi mengakui kesilapan di pihak Pemuda Pas kerana tidak melakukan semakan terlebih dahulu sebelum membuat jemputan.

“Kami ada kesilapan juga kerana tidak menyemak terlebih dahulu tentang perkara tersebut, jadi di atas perkara ini menimbulkan rasa tidak senang sahabat dari Perlis, maka Pemuda Pas memohon maaf khusus kepada Pemuda Pas Perlis atas kekhilafan itu.

“Kita tidak mengetahui ada isu khusus antara Muhammad Zamri dengan Pemuda Pas Perlis dan Pas Perlis sendiri, kita tidak tahu, saya sendiri tidak ada maklumat terperinci,” katanya.

Artikel Berkaitan: