JKKMAR garis 61 inisiatif perangi rasuah

Tan Sri Abu Kassim Mohamed
Tan Sri Abu Kassim Mohamed
A
A
A
PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Jawatankuasa Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) menggariskan 61 inisiatif sebagai usaha serius kerajaan memerangi rasuah bagi tempoh enam bulan penubuhannya.

Ketua Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Negara (GIACC), Tan Sri Abu Kassim Mohamed berkata, dalam tempoh Jun hingga Disember 2018, sebanyak lima mesyuarat telah dilaksanakan yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Selepas kerajaan baharu mengambil alih kerajaan satu agenda utama yang diberi perhatian berat dan serius adalah perangi rasuah.

Beberapa perkara dasar dibuat sejak ditubuhkan melibatkan janji dibuat kerajaan dalam manifesto untuk meningkatkan integriti disamping janji untuk menjalankan siasatan dan tindakan ke atas 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji," katanya pada sidang media Laporan Pencapaian Akhir Tahun Usaha-usaha Memerangi Rasuah di Malaysia di pejabat jawatankuasa itu di sini.

Sidang media itu turut dihadiri Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dan Timbalan Ketua Pengarah JKKMAR, Datuk Dr Anis Yasul Yusoff.

Abu Kassim berkata, usaha yang dilakukan kerajaan menangani rasuah turut mendapat respon positif daripada pelbagai pihak termasuk dari agensi antarabangsa yang datang menawarkan bantuan.

"Hasil perubahan dasar telah mula mendapat kesan positif termasuk diperingkat antarabangsa di mana beberapa agensi antarabangsa datang dan menawarkan perkhidmatan membantu kita dalam merangka dasar-dasar menangani rasuah terutamanya dalam pembentukan Pelan Anti-rasuah Nasional 2019-2023 (NACP),"katanya.

Menurutnya antara agensi yang melawat kita termasuk UNTP, World Bank, OECD,dan IMF.

"Kita percaya lebih banyak lagi perbincangan yang akan dibuat dengan agensi antarabangsa,"katanya.
Artikel Berkaitan:


Sementara itu Abu Kassim memaklumkan, NACP bakal dilancarkan Tun Dr Mahathir pada 31 Januari 2019.

"Antara intipati NACP merangkumi beberapa perkara dasar termasuk tiga elemen penting termasuk input daripada manifesto kerajaan, laporan jawatankuasa antarabangsa, cadangan-cadangan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta Jawatankuasa Pembaharuan Institusi (IRC),"jelas Abu Kassim.