Kontrak sewa tamat jika langgar syarat

Haniza (kiri) bersama penyewa.
Haniza (kiri) bersama penyewa.
A
A
A

KLANG - Mana-mana penyewa unit kediaman bawah Skim Smart Sewa Rumah Selangorku (RSKU) yang dikesan melanggar syarat perjanjian yang ditetapkan, berdepan tindakan ditamatkan kontrak penyewaan.

Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, peluang di bawah skim berkenaan perlu dimanfaatkan sebaiknya dengan rasa penuh bertanggungjawab.

“Penyewa diingatkan supaya tidak membenarkan orang luar untuk menumpang atau menyewakan mana-mana bahagian dalam unit berkenaan kepada orang lain.

“Selain itu, penyewa diingatkan untuk membayar sewa pada atau sebelum 7 hari bulan setiap bulan untuk memastikan mereka layak menerima pulangan 30 peratus di akhir tempoh sewaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Skim Smart Sewa Dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri di Pangsapuri Asteria, Bandar Parklands di sini.

Beliau berkata, usaha kerajaan negeri melalui perlaksanaan skim berkenaan mampu mengurangkan masalah rakyat khususnya dalam memenuhi keperluan masyarakat memiliki rumah.

Katanya, sehingga kini sejumlah 993 unit rumah dibeli Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) untuk disewakan semula bawah skim tersebut

“Sebanyak RM210 juta telah diperuntukkan sepanjang tempoh empat tahun bermula 2016 sehingga tahun ini bagi pembelian unit-unit ini yang disewakan dengan kadar bermula RM450 sehingga RM700 sebulan.

“Semua unit ini terletak di hampir kebanyakan kawasan bandar yang mempunyai permintaan sewa rumah yang tinggi antaranya Rawang, Kajang, Kuala Selangor, Klang, Puchong dan Shah Alam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Haniza berkata, kerajaan negeri akan mengesyorkan cadangan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk memperluaskan model RSKU ke seluruh negara sebagai usaha membantu rakyat memiliki rumah.

“Melalui RSKU, rakyat berpendapatan rendah dapat menyewa kediaman dalam persekitaran yang lebih kondusif di samping dapat menyimpan. Tempoh sewa antara dua hingga lima tahun ditetapkan dan selepas tamat tempoh, 30 peratus dari keseluruhan bayaran sewa akan dipulangkan.

“Pengembalian 30 peratus ini membolehkan penyewa menggunakannya sebagai bayaran deposit untuk pembelian rumah. Penyewa-penyewa ini juga akan diberi keutamaan untuk memberi Rumah Selangorku,” katanya.

Terdahulu, seramai 70 keluarga menerima manfaat Skim Smart Sewa di pangsapuri terbabit selepas menerima kunci yang diserahkan sendiri Ahli Dewan Negeri Lembah Jaya itu.