Kerajaan tanggung RM7.4 bilion rawatan kos akibat rokok

Mohd Syafiq (kiri) dan Chee Leong (dua, kanan) ketika melihat pameran majlis Perasmian Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mohd Syafiq (kiri) dan Chee Leong (dua, kanan) ketika melihat pameran majlis Perasmian Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - [DIKEMASKINI] Kerajaan berisiko menanggung kos sebanyak RM7.4 bilion menjelang 2025 bagi rawatan penyakit utama impak daripada gejala merokok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, jumlah itu tidak mustahil dan ia berdasarkan unjuran yang dibuat Kementerian Kesihatan melibatkan penyakit utama seperti kanser paru-paru, penyakit paru-paru kronik dan masalah jantung koronari.

Menurutnya, kos bebanan berkenaan perlu disediakan kerajaan sekiranya kawalan tembakau di negara ini tidak diperkukuhkan selain kelaziman merokok dalam kalangan penduduk negara ini tidak berkurangan.

"Kos rawatan tersebut adalah bebanan kepada negara dan ia dijangka boleh berlaku jika prevalen merokok terus meningkat.

"Kajian prevalen merokok dalam kalangan remaja berumur 13 hingga 15 tahun menurun kepada 14.8 peratus (2016) berbanding 20.2 peratus pada 2003 namun prevalen merokok dewasa masih tinggi dengan anggaran lima juta orang berumur 15 tahun ke atas merokok," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis Perasmian Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Artikel Berkaitan:

Mohd Syafiq (dua,kiri) dan Chee Leng (tengah) bersama murid yang menerima hadiah bagi pertandingn yang disertai pada Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.
Mohd Syafiq (dua,kiri) dan Chee Leng (tengah) bersama murid yang menerima hadiah bagi pertandingn yang disertai pada Konvensyen Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (Kotak) 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini hari ini.

Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah, Low Chee Leong; Timbalan Pengarah (Penyelidikan dan Penilaian) Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan Kementerian Pendidikan, Dr Latip Muhammad dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Rushidi Ramly.

Tambahnya, dalam masa sama, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai inisiatif dan menggerakkan langkah proaktif bagi menangani isu tersebut dengan pelaksanaan pelbagai program hingga ke peringkat akar umbi termasuk dalam kalangan pelajar sekolah.

Menurutnya, beberapa program kerjasama kerajaan dan swasta juga telah dilaksanakan seperti Perkhidmatan Berhenti Merokok (mQuit), program pencegahan awal dengan kolaborasi Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan, I Am Free (IMFree) dan Kempen Kotak.

Selain itu, yang terbaharu katanya, semua tempat makan telah diwartakan sebagai 'Tempat Larangan Merokok' bagi melindungi orang awam daripada terdedah kepada bahaya asap rokok bermula 1 Januari lalu.

"Diharapkan segala pelaksanaan program dan kempen ini dapat membantu menjayakan hasrat Kementerian Kesihatan ke arah membentuk generasi bebas daripada sebarang bentuk amalan merokok menjelang 2044 seterusnya menjimatkan wang negara," katanya.

Pada program selama dua hari itu turut diadakan forum bertajuk 'Kami sihat tanpa tembakau', perkongsian pengalaman bahaya rokok terhadap kesihatan, aktiviti murid sekolah dan pameran.