Rosmah tarik balik rayuan, perbicaraan kes rasuah projek solar

Rosmah
A
A

PUTRAJAYA - Perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, berkaitan projek pembekalan sistem tenaga solar hibrid bagi sekolah luar bandar di Sarawak, akan didengar di Mahkamah Tinggi.

Ini berikutan keputusan Rosmah menarik balik rayuannya di Mahkamah Rayuan hari ini terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 15 Mac lepas yang membenarkan permohonan pendakwaan untuk memindahkan kesnya dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh memaklumkan panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli bahawa pembelaan menarik balik rayuan berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi pada 30 Mei.

Pada tarikh itu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan membenarkan permohonan pendakwaan supaya kes solar itu yang membabitkan Rosmah dan Datuk Rizal Mansor, bekas pegawai khas kepada Perdana Menteri, dibicarakan bersama di Mahkamah Tinggi dan menetapkan 32 hari untuk perbicaraan bermula 3 Februari depan.

Mohamed Zaini juga mengarahkan kes pengubahan wang haram Rosmah melibatkan lebih RM7 juta, didengar berasingan dan menetapkan 11 Mei untuk perbicaraan.

Hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Farizul Hassan Bakri tidak membantah penarikan balik rayuan itu.

Abdul Rahman yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal kemudiannya mengetepikan rayuan itu.

Rosmah, 67, tidak hadir di mahkamah hari ini.

Beliau mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen pada 15 Nov tahun lepas terhadap dua pertuduhan meminta rasuah wang tunai RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rizal, 46, juga mengaku tidak bersalah pada hari yang sama atas empat tuduhan menerima rasuah bagi dirinya dan bagi pihak Rosmah berjumlah RM5.5 juta, berhubung projek solar tersebut.

Pada 4 Okt tahun lepas, Rosmah minta dibicarakan atas 12 tuduhan kegiatan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah RM7 juta dan lima tuduhan gagal mengisytihar pendapatan beliau kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri. - Bernama