'Biarlah saya ganti tempat Qhayla...'

Nur Qhayla hanya terbaring dan tidak mampu bergerak.
Nur Qhayla hanya terbaring dan tidak mampu bergerak.
A
A
A

TANAH MERAH - Usia sudah masuk tiga tahun, namun keadaan fizikalnya tidak seperti kanak-kanak lain malah tidak dapat bergerak dan perlu dipakaikan lampin pakai buang dan minum susu melalui tiub.

Itulah nasib yang dialami seorang kanak-kanak, Nur Qhayla Rania Firdaus di Kampung Alor Pasir di sini yang mengalami masalah lebihan air dalam kepala sejak dilahirkan sehingga kini.

Nur Qhayla akan dibawa ibunya, Che Siti Noor Azreen Che Ishak, 24, ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan susulan walaupun jarak dari kediaman mereka lebih 40 kilometer dan kadangkala terpaksa naik kereta sewa kerana suami perlu menjaga anak sulung yang masih di prasekolah.

Suaminya, Mohd Firdaus Abdullah, 27, hanya bekerja sebagai penoreh getah, manakala Che Siti Noor Azreen tidak bekerja.

Menurut Che Siti Noor Azreen, Nur Qhayla sering menangis dan tidak dapat tidur dengan sempurna kerana keadaan lebihan air dalam kepala menyebabkannya semakin membesar.

Katanya, apabila anaknya berasa sakit, dia akan mula menepuk-nepuk kepalanya dengan tangan.

"Setakat ini, anak bongsu saya ini perlu menjalani rawatan berterusan di HUSM Kubang Kerian bagi membuang lebihan air dalam kepalanya.

"Saya begitu memahami penderitaannya. Kalau boleh biarlah saya yang ganti tempat dia, tak sanggup tengok dia menanggung kesakitan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Che Siti Noor Azreen lagi, bagi mengurangkan rasa sakit di kepala anaknya, Nur Qhayla akan menjalani rawatan memasukkan tiub dalam kepala dan dengan sambungan itu ia akan mengeluarkan lebihan air melalui saluran kencing.

"Buat masa ini saya hanya mengharapkan gaji suami yang tidak menentu dan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menampung perbelanjaan bagi membeli susu khas dan lampin pakai buang.

"Harga susu juga agak mahal iaitu RM80 dan hanya bertahan seminggu saja. Bayangkanlah kami terpaksa catu belanja untuk anak bongsu kami yang perlukan rawatan ini.

"Harapan kami agar ada pihak dapat membantu bagi meringankan beban yang ditanggung. Saya berharap penderitaan Qhayla dapat dikurangkan walau tidak sembuh seperti sediakala, namun saya mahu lihat dia sihat," katanya.

Sebarang bantuan dan sumbangan boleh terus disalurkan melalui nombor akaun Maybank Che Siti Noor Azreen Che Ishak (153056463889).