Kadar salah guna dadah di kalangan pelajar Johor menurun

Mohd Khuzzan (kanan) ketika melihat salah satu sampel air kencing yang diambil daripada sebahagian pelajar sekolah menengah di negeri ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Kadar penyalahgunaan dadah melibatkan pelajar sekolah menengah di negeri ini menunjukkan penurunan memberansangkan berbanding tahun lalu.

Exco Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan Negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata, jumlah tersebut berdasarkan rekod diambil sejak awal tahun hingga Mei tahun ini.

“Sehingga Mei tahun ini, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) telah mengesan seramai 148 pelajar sekolah menengah di negeri ini positif dadah menerusi saringan ujian air kencing yang dijalankan.

“Bagaimanapun, berdasarkan statistik jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 31 kes bagi tempoh sama tahun lalu yang mana melibatkan seramai 179 pelajar daripada 278 sekolah menengah di negeri ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Mohd Khuzzan berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara berkenaan dan usaha memerangi dadah di peringkat sekolah hingga ke peringkat awam di negeri ini akan terus dipergiat secara aktif.

“Dari sudut penglibatan pelajar sekolah dalam penyalahgunaan dadah, ia telah menunjukkan perkembangan positif apabila data pelajar positif ujian saringan urin menunjukkan penurunan.

“Ia merupakan kejayaan hasil usaha dan inisiatif kerjasama Kerajaan Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, AADK Johor, Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Johor, polis, Jabatan Kesihatan dan agensi-agensi lain,” katanya.

Beliau berkata, seiring usaha itu, Jabatan Pendidikan Negeri Johor melalui arahan dan kerjasama Kementerian Pendidikan juga telah menetapkan dua pendekatan iaitu program pencegahan dan program intervensi.

Menurutnya, untuk pelaksanaan program pencegahan, ia merupakan inisiatif yang diwajibkan dijalankan untuk semua pelajar sekolah.

“Program intervensi pula memberi fokus kepada murid berisiko terlibat dadah seperti Ujian Saringan Air Kencing dan Kem Sayangi Hidup Elak Derita Selamanya (SHIELDS) dengan kerjasama AADK, Kem Skim Lencana Antidadah (SLAD) dengan kerjasama Pemadam dan Kem Intervensi Anak Negara (INTAN) melalui arahan dan peruntukan Kementerian Pendidikan.

“Program-program ini akan diteruskan dan dipertingkat bagi memastikan visi sekolah bebas dadah tercapai,” katanya.