UMP tersenarai universiti terbaik dunia

UMP mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020. (Gambar kecil: Profesor Ir. Dr. Wan Azhar)
UMP mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020. (Gambar kecil: Profesor Ir. Dr. Wan Azhar)
A
A
A

KUANTAN - Universiti Malaysia Pahang (UMP) mencatat sejarah apabila tersenarai antara universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings (WUR) 2020 yang diterbitkan oleh QS Quacquarelli Symonds (QS) baru-baru ini.

Sebagai salah satu universiti awam dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN), UMP yang menerajui bidang kejuruteraan dan teknologi terus mencatat pencapaian terbaik sebagai universiti teknologi lima bintang apabila berada dalam kelompok 751-800 terbaik dunia.

Naib Canselor UMP, Profesor Ir Dr Wan Azhar Wan Yusoff berkata, universiti itu sebelum ini berada pada kedudukan 188 terbaik di Asia dalam QS University Ranking Asia: 2019.

Menurutnya, penilaian itu dibuat berdasarkan enam kriteria penilaian iaitu reputasi akademik, reputasi majikan, sitasi per fakulti, nisbah pelajar kepada fakulti, perkadaran pengantarabangsaan fakulti dan perkadaran pelajar antarabangsa.

“Bagi penarafan indikasi pengantarabangsaan fakulti menunjukkan UMP berada di kedudukan 360 terbaik dunia manakala prestasi baik dalam indikasi reputasi pula menunjukkan UMP berada di kedudukan 501 terbaik dunia.

“Pencapaian ini menyerlahkan kecemerlangan dalam pengajaran dan pembelajaran di UMP yang sentiasa memberi fokus kepada pelbagai aspek teknikal dan teknologi.

“Pencapaian ini merupakan petunjuk yang baik bahawa pendekatan pengajaran dan penyelidikan di universiti ini diiktiraf dalam melahirkan graduan yang kompeten menepati kehendak industri serta mendapat pengiktirafan antarabangsa,” katanya.

Profesor Ir Dr Wan Azhar berkata, instrumen penanda aras itu membolehkan UMP mengkaji dan memperbaiki pencapaian universiti dari pelbagai perspektif.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, UMP akan terus bergerak maju sebagai pemain global bagi mencapai misi dan visi yang telah ditetapkan serta berada pada landasan terbaik sebagai universiti MTUN dalam memperkasa latihan kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di negara ini.

Kejayaan UMP itu turut mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Melalui Facebook rasminya, Wan Rosdy mengucapkan tahniah kepada warga UMP kerana menjadi universiti teknikal pertama dalam kalangan universiti teknikal di negara yang tersenarai dalam QS World University Rankings (WUR) 2020.