Program ‘Perak Oxygen Land Bank’ bakal diperkenal

Mohamed Zin (tengah) menunjukkan risalah program ‘Perak Oxygen Land Bank’ yang bakal diperkenalkan kepada semua pihak untuk bersama-sama memulihkan sumber dan kualiti hutan di Perak.
A
A

IPOH - Jabatan Perhutanan Negeri menawarkan peluang kepada syarikat korporat dan individu untuk bersama memelihara hutan simpan menerusi program ‘Perak Oxygen Land Bank’ yang bakal diperkenalkan tidak lama lagi.

Pengarahnya, Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, program berkonsepkan pokok angkat itu merupakan inisiatif jabatan dalam merancakkan aktiviti pemulihan serta meningkatkan kualiti sumber hutan.

“Hutan Simpan Chikus mengandungi petak demonstrasi hutan pelbagai peringkat seluas 71.5 hektar telah dipilih pada program ini, begitu juga dengan Hutan Simpan Belum namun, keluasan akan ditentukan oleh Institut Penyelidikan Hutan Malaysia (FRIM).

"Hutan seluas 2,533.76 hektar yang terletak di Bidor itu merupakan satu-satunya hutan simpan pamah yang terdapat di Perak dan sebanyak 44 spesies pokok yang akan dijual secara berfasa pada program ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada Majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Taman Eko Rimba Kledang Saiong yang turut dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, di sini, semalam.

Menurutnya, sebatang pokok yang ditanam di kawasan hutan simpan boleh dibeli dengan harga RM5,000.

"Peserta menerima pelbagai faedah antaranya menerima pelepasan cukai selain tertera nama pada papan tanda pokok dan menerima kemudahan taman eko rimba secara percuma.

"Program yang julung kali diperkenalkan itu bakal menyumbang pendapatan baharu kepada kerajaan negeri serta menggalakkan aktiviti pembelajaran dan penyelidikan berkaitan perhutanan," katanya.

Katanya, program pokok angkat itu dijangka akan dilancarkan oleh Ahmad Faizal sekurang-kurangnya September ini.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia