Hadi sertai Fagiano Okayama

Hadi sah sertai Kelab Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun (JLeague), Fagiano Okayama untuk tempoh satu tahun. - Foto Twitter Bernama
Hadi sah sertai Kelab Divisyen 2, Liga Bola Sepak Profesional Jepun (JLeague), Fagiano Okayama untuk tempoh satu tahun. - Foto Twitter Bernama
A
A
A

PENYERANG skuad Bawah 19 Tahun (B-19) negara, Hadi Fayyadh Abdul Razak menyertai kelab Liga Jepun (JLeague) Divisyen Dua, Fagiano Okayama untuk tempoh satu tahun.

Dalam kenyataan hari ini, Hadi Fayyadh, 18, yang telah menjalani sesi latihan percubaan bersama kelab itu sebanyak dua kali sebelum ini, berkata beraksi di Jepun merupakan cita-citanya sejak kecil.

Katanya, peluang menyarung jersi Fagiano Okayama akan digunakan sebaik mungkin untuk menimba pengalaman demi meningkatkan prestasinya dan masa depan kariernya.

“Alhamdulillah, saya berasa sangat gembira kerana telah berjaya menempatkan diri dalam kelab ini. lni merupakan cita-cita saya sejak kecil dan juga merupakan satu permulaan yang baik bagi saya untuk meningkatkan kemahiran diri.

“Jepun antara negara bola sepak terbaik di Asia dan mempunyai program pembangunan yang tersusun. Oleh itu peluang yang saya peroleh ini akan digunakan sehabis baik demi masa depan yang lebih gemilang dalam arena ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau yang beraksi untuk Johor Darul Ta’zim 2 (JDT ll) dalam saingan Liga Malaysia musim ini, menzahirkan penghargaan kepada Yakult Malaysia atas usaha dalam membantunya merealisasikan impian beraksi di Jepun.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Yakult Malaysia yang membuka jalan dan membantu saya di sini. Sasaran seterusnya saya mahu meningkatkan kemahiran supaya dapat bersaing merebut tempat kesebelasan utama,” tambahnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada menyifatkan kejayaan Hadi Fayyadh itu disebabkan sifat tidak mudah mengalah dan hasil kerja kuat pemain tersebut.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyatakan kesediaannya membantu lebih ramai pemain muda berbakat negara yang berminat beraksi di Jepun.

“Saya dimaklumkan oleh pengurus pasukan bahawa Hadi sentiasa memberikan yang terbaik sehingga membuat mereka tertarik untuk mengambilnya menyertai mereka.

“Saya berharap agar kejayaan ini dapat menjadi pembuka ruang untuk lebih ramai lagi pemain Malaysia bermain di Liga Profesional Jepun. Kami akan sentiasa menyokong Hadi dan membantu mana-mana pemain Malaysia yang ingin mendapatkan tempat di sini,” katanya. - Bernama