'Jangan biar kerusi Datuk Bandar kosong terlalu lama'

Sebahagian delegasi sahabat muslim dari Xian, China yang dijemput khas hadir, semalam. (Gambar kecil: Roshidi)
Sebahagian delegasi sahabat muslim dari Xian, China yang dijemput khas hadir, semalam. (Gambar kecil: Roshidi)
A
A
A

IPOH - Peranan Datuk Bandar dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) cukup penting sebagai pencetus pembangunan sesebuah bandaran.

Bekas Datuk Bandar Ipoh, Datuk Roshidi Hashim berkata, selain menjadi penghubung antara rakyat iaitu pembayar-pembayar cukai, Datuk Bandar juga bertanggungjawab merealisasikan hasrat pembangunan didasarkan kerajaan memerintah.

"Dengan kuasa-kuasa yang ada pada Datuk Bandar, saya merasakan jawatan itu cukup penting untuk mana-mana PBT juga, jika berlaku kekosongan sebaiknya janganlah dikosongkan terlalu lama," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka dan Ramah Mesra bersama Sahabat Muslim dari Xian, China, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu pelantikan Datuk Bandar Ipoh baharu bagi menggantikan Datuk Zamri Man yang dilaporkan tidak hadir bertugas sejak beberapa bulan lalu.

April lalu, kerajaan Perak memaklumkan bahawa pelantikan berkenaan akan dibuat pada akhir bulan itu, namun masih tertangguh sehingga kini.

Roshidi mengakui, sedih dengan situasi yang berlaku kerana sepanjang lebih 38 tahun berkhidmat sebagai anggota kerajaan, belum pernah ada kelompongan dalam jawatan terbabit apatah lagi berdepan situasi pelantikan yang sulit.

Katanya, pada kebiasaan beberapa nama calon Datuk Bandar akan diserahkan untuk diputuskan kerajaan negeri, sebelum jawatan itu benar-benar dikosongkan.

"Kita ada pegawai dalaman berpengalaman, malah anak Perak yang bertugas di luar negeri juga ramai jika mahu dijadikan calon.

Artikel Berkaitan:

"Dalam hal ini, saya kira mungkin kerajaan mahu buat saringan yang terbaik untuk menentukan individu itu boleh membantu merealisasikan pembangunan bandar Ipoh," katanya.

Dalam nada sebak, beliau turut melahirkan rasa bangga dengan usaha dan khidmat dilakukan Zamri Man hingga membolehkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) memperolehi penarafan lima bintang dan diiktiraf sebagai PBT terbaik di Malaysia untuk tahun 2016.

"Saya sedih kerana beliau tidak dapat meneruskan perkhidmatannya, saya pernah cuba berhubung dengan beliau untuk mendapatkan makluman, tetapi malangnya tidak berjaya," katanya.

Roshidi, 64, dilantik sebagai Datuk Bandar Ipoh pada 2007 hingga 2014 dan beliau sebelum itu merupakan Setiausaha MBI.