Orang asli tak mahu pindah

Orang asli suku Bateq di Kuala Koh enggan berpindah ke penempatan baharu sebaliknya mahu kemudahan bekalan air bersih dan elektrik disediakan di perkampungan mereka.
Orang asli suku Bateq di Kuala Koh enggan berpindah ke penempatan baharu sebaliknya mahu kemudahan bekalan air bersih dan elektrik disediakan di perkampungan mereka.
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk orang asli suku Bateq Kampung Kuala Koh, Pos Lebir di sini tidak akan berpindah ke penempatan baharu sebaliknya mahu kemudahan asas seperti elektrik dan sumber air bersih disediakan.

Menurut Som Yai, 63, mereka tidak perlu keluar dari perkampungan itu yang menjadi nadi kehidupan sejak dahulu lagi.

Katanya, kematian empat ahli keluarganya termasuk suami, Hamdan Keladi, meninggalkan kesan mendalam buat dirinya namun tidak terlintas dalam fikirannya untuk meninggalkan kampung.

“Kami tidak perlu keluar dari sini, cuma pihak berkenaan perlu prihatin kepada hidup kami. Kami memerlukan air bersih dan bekalan elektrik.

“Bukan kami mahu berpindah randah jika kemudahan itu ada. Kami hanya keluar mencari sumber hutan dan kembali semula ke rumah kerana kehidupan kami tidak boleh dipisahkan dengan sumber alam.

“Kenapa perlu buat penempatan baharu kerana perkampungan sudah ada. Naik taraflah kampung kami,” katanya yang juga isteri kepada tok batin sebelum ini.

Som Yai
Som Yai

Bagi Mamat Ong, bukan mudah untuk orang asli menyesuaikan diri di penempatan baharu dan lebih mudah sekiranya perkampungan sedia ada mendapat pembelaan dan pembangunan.

Artikel Berkaitan:

“Sudah lama kami mahukan bekalan air bersih dan elektrik. Hidup kami akan lebih terancang dengan kemudahan utama ini.“Sudah lama kami tinggal di kampung ini. Kami sudah biasa dengan selok belok hutan dan mencari sumber kewangan dengan hasil hutan,” katanya.

Bagi seorang Tok Batin, Mamat Pokok, soal pemindahan bukan semudah yang dijangka kerana ia memerlukan perbincangan menyeluruh.

“Banyak perkara perlu diberi perhatian terutamanya soal tanah dan lokasi.

“Ini soal memindahkan manusia yang bergantung dengan sumber hutan. Saya tidak rasa ia satu perkara mudah apatah lagi perlu wujudkan penempatan baharu yang dilengkapi kemudahan asas,” katanya.

Kelmarin, kerajaan negeri difahamkan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sedang merancang untuk memindahkan masyarakat orang asli berkenaan keluar dari kampung terbabit selepas 112 daripada penduduk suku berkenaan dilaporkan mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan.