Kembalikan kegemilangan bola sepak Kelantan

Ahmad Muzakkir
A
A

KOTA BHARU- Usahawan dan anak kelantan yang mampu mengemudi Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) diseru pulang ke negeri ini untuk sama-sama menabur bakti bangunkan kembali kegemilangan pasukan itu.

Pengarah Urusan UK Ice Blendz, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, Kafa memerlukan seorang pemimpin yang mampu mengembalikan kegemilangan sukan bola sepak, sepertimana lima dan sepuluh tahun sebelum ini.

"Kelantan mempunyai ramai usahawan-usahawan yang mampu menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Bibi Ramjani Ilias Khan.

"Mereka membina empayar di luar negeri dengan pelbagai perniagaan dan mampu membantu Kafa untuk bersaing dalam liga kembali.

"Inilah masanya untuk rakyat Kelantan kembali menabur bakti kepada negeri tercinta. Bukan hanya melihat kita berputih mata," katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurutnya, Bibi telah melakukan tanggungjawabnya sebaik mungkin dan berharap pengganti beliau nanti juga mampu membuka lembaran baru kepada pasukan The Red Warrior itu.

Beliau memberitahu, keyakinan tinggi diberikan kepada usahawan negeri ini bagi menggorak langkah bersama membantu pasukan kesayangan rakyat Kelantan ini.

"Lupakan hal yang sebelum ini, kita perlu fikir masa depan bola sepak kita. Dulu Kelantan di antara pasukan yang sentiasa digeruni. Kembalikan aura tersebut, kembalikan semangat untuk penuhkan stadium.

"Kembalikan rasa teruja dan sayang pada sukan kita. Bola sepak adalah nadi rakyat kelantan. Ke mana pun kita pergi, bola sepak akan menjadi bahan utama yang diperkatakan.

"Saya harap ada individu yang sanggup menggalas tanggungjawab ini sebaiknya. Itu harapan kami rakyat Kelantan walaupun masing-masing kini berhijrah ke luar negeri untuk mencari rezeki," katanya.