UM kekal universiti terbaik Malaysia

Universiti Malaya
Universiti Malaya
A
A
A

UNIVERSITI Malaya (UM) kini berkedudukan ke-70 terbaik dunia, naik 17 anak tangga berbanding tahun lalu berdasarkan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2020 yang dikeluarkan semalam.

QS World University Rankings edisi ke-16 itu menyaksikan universiti tertua di negara ini meneruskan kecemerlangannya apabila menduduki tempat ke-18 di Asia, sekaligus universiti paling unggul di Malaysia.

Peningkatan pencapaian itu adalah buat kali keenam berturut-turut dan kali kedua berturut-turut dalam kedudukan 100 terbaik dunia. Ia membaiki kedudukannya yang berada di tempat ke-87 pada tahun lalu.

UM juga berada di tempat ke-18 dalam kalangan Universiti Ekonomi-Ekonomi Baru Muncul (EEUR) Times Higher Education (THE).

Ini membuktikan bahawa universiti itu mampu menjadi platform yang baik bagi mengembangkan potensi pelajar-pelajar kerana UM juga diiktiraf sebagai universiti penyelidikan premier di Malaysia dan Asia serta dikenali di serata dunia.

Universiti Putra Malaysia (UPM) pula berada pada kelompok kedudukan 200 dengan berada di tangga ke-159, melonjak 43 anak tangga berbanding 202 pada tahun lalu.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melonjak sebanyak 24 anak tangga untuk berada pada kedudukan ke-160. Ketiga-ketiga universiti ini cukup ulung selepas menjalani tempoh dan sejarah yang panjang dalam pengajian tinggi di Malaysia

Universiti Sains Malaysia (USM) memperbaiki kedudukan daripada tempat ke-165 berbanding 207 pada tahun lalu. Sementara itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melonjak di tangga ke-217 berbanding tempat ke-228 sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Ranking QS itu, menunjukkan Malaysia antara negara yang menunjukkan peningkatan terbaik dalam ranking pada kali ini.

Senarai tersebut dikeluarkan secara rasmi oleh agensi antarabangsa yang cukup berkredibiliti yang melakukan penilaian berdasarkan beberapa elemen termasuklah aspek penyelidikan, peringkat antarabangsa, kualiti kursus dan graduan di peringkat pasaran kerja dan juga aspek pengajaran.

Kejayaan itu turut memberi petunjuk bahawa institusi pendidikan tinggi di Malaysia telah berjaya menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti dan positif menuju ke arah Revolusi industri 4.0.