Profesor UiTM wanita kedua paling berpengaruh dalam kewangan Islam

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Pengarah Accounting Research Institute (ARI), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Profesor Dr Normah Omar dinobatkan sebagai salah seorang wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam oleh Cambridge International Finance Advisory.

Penganugerahan tersebut dibuat dalam majlis perasmian 2nd WOMANi Gala Dinner and Awards Ceremony, di JW Marriott Marquis Hotel, Dubai pada 17 Jun lalu.

UiTM dalam satu kenyataan berkata, Prof Normah disenaraikan di tempat kedua, selepas Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Noripah Kamso di mana anugerah tersebut sekaligus mengiktirafkan dedikasi dan kesungguhan Prof Normah dalam usaha beliau memajukan kajian perlakuan jenayah dalam bidang kewangan Islam atau Islamic Financial Crimonology.

“Prof Normah adalah penyelidik perintis dalam bidang Islamic Financial Criminology di mana sumbangan dan kesungguhan beliau telah berjaya mencapai aspirasi Malaysia sebagai hab kewangan Islam.

“Di bawah pimpinan beliau juga, ARI telah diberikan status Higher Institution Centre of Excellence (HICoE) oleh Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia sejak tahun 2010 dan institut ini secara berterusan meletakkan penyelidikan dalam kewangan Islam sebagai fokus utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurut kenyataan tersebut juga, pada tahun 2017, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melantik Prof Normah sebagai wanita pertama untuk berada di dalam Program Pensijilan Pencegahan Rasuah.

“Di samping memegang beberapa jawatan penting di peringkat nasional, Prof Normah juga telah berjaya menaikkan taraf kedudukan usahawan wanita dengan membangunkan produk-produk baharu Kewangan Islam.

“Beliau juga merupakan mentor dan pakar rujuk kepada ramai ahli akademik dan pemimpin yang berpengaruh,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah UiTM, Prof Normah telah dianugerahkan dengan berbagai pengiktirafan sebelum ini di mana pada tahun 2016, beliau telah dinobatkan sebagai Game Changer of the Year oleh ACQ London dan pada tahun 2017 pula telah menerima anugerah Global Good Governance Award di Dubai dan The Advocacy of Islamic Financial Criminology Award di Kazakhstan.

“Jelas sekali Prof Normah adalah contoh terbaik bagi wanita dan kejayaan serta wajar ditempatkan dalam kedudukan sepuluh wanita paling berpengaruh dalam bidang Kewangan Islam.

“Selaras dengan kepakarannya dalam bidang ini, Prof Normah telah banyak memberikan sumbangan dengan menjalin kerjasama dengan agensi dan badan kerajaan seperti SPRM, Polis Diraja Malaysia, Kastam Diraja Malaysia, Institut Integriti, Institut Tadbir Urus Korporat Malaysia, Association of Fraud Examiners, Association of Certified Anti-Money Laundering Specialists dan Association of Bankers Malaysia,” katanya.

Majlis penganugerahan 2nd Womani Awards tersebut dihadiri oleh ahli professional dalam bidang kewangan dan kewangan Islam dari serata dunia selain Malaysia iaitu Amerika Syarikat, Eropah, Indonesia dan Pakistan termasuk ahli-ahli dari Gulf Cooperation Council (GCC).