Tukang paip cedera terkena tembakan

Hashimah (tengah) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan dialami anak lelakinya didakwa akibat terkena tembakan di Jalan Langgar berdekatan Jalan Datuk Kumbar, hari ini.
Hashimah (tengah) menunjukkan laporan polis dan gambar kecederaan dialami anak lelakinya didakwa akibat terkena tembakan di Jalan Langgar berdekatan Jalan Datuk Kumbar, hari ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang tukang paip cedera di lengan kiri didakwa akibat ditembak seorang anggota polis trafik ketika cuba memberhentikan motosikal dinaiki mangsa dan rakannya di Jalan Langgar berhampiran Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa, Mohamad Alif Aiman Anuar, 21, dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Alor Mengkudu, di sini, dengan membonceng motosikal rakannya.

Bagaimanapun, ibu mangsa, Hashimah Mahmood, 49, berkata, dia difahamkan anak ketiga daripada lima beradik itu ditembak anggota terbabit selepas melanggar lampu isyarat di jalan berkenaan.

"Difahamkan, tembakan dilepaskan selepas anggota berkenaan mengejar anak dan rakannya yang menunggang motosikal hingga menyebabkan mangsa cedera di bahagian lengan kiri.

"Kini, anak ditempatkan di Zon Merah Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dimaklumkan akan menjalani satu pembedahan mengeluarkan sebutir peluru pada malam ini," katanya.

Katanya, dia pada mulanya menyangkakan anak lelakinya itu hanya mengalami kemalangan semata-mata selepas dimaklumkan oleh rakan mangsa sebelum bergegas ke HSB.

"Bagaimanapun, saya dimaklumkan anak yang masih sedar bahawa dia telah meminta rakannya untuk memberhentikan motosikal, bagaimanapun rakannya tidak berbuat sedemikian dipercayai ketakutan akibat tidak memiliki lesen.

Hashimah berkata, dia menyedari anak lelaki dan rakannya salah kerana tidak menghentikan motosikal selepas melanggar lampu isyarat, bagaimanapun tidak berpuas hati apabila mangsa ditembak.

Artikel Berkaitan:

Katanya, anak lelaki lelaki turut memaklumkan bahawa anggota polis itu melepaskan tembakan pada bahagian tayar motosikal dinaiki mereka sebelum dipercayai tersasar mengenainya.

"Malah, kami sedih apabila anak dibiarkan dalam keadaan berlumuran darah, malah rakan anak yang menelefon majikan memaklumkan kejadian untuk menghubungi ambulans," katanya.

Hashimah berkata, dia ingin menuntut keadilan untuk anak lelakinya yang berkemungkinan akan cacat seumur hidup dipercayai selepas terkena tembakan berkenaan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kedah Datuk Mat Kasim Karim mengesahkan menerima laporan terbabit.

"Anggota polis trafik yang didakwa melepaskan tembakan itu didapati masih belum membuat laporan polis setakat ini.

"Tembakan dilepaskan itu mungkin adalah dengan niat untuk memberhentikan motosikal," katanya dalam satu kenyataan.

Namun pun begitu, katanya, tindakan itu disifatkan tidak wajar.

"Sekiranya tindakan anggota polis itu didapati bertentangan dengan undang-undang, ia akan membuka ruang kepada mangsa untuk mengambil tindakan sivil terhadap pasukan sepertimana yang telah berlaku dalam kebanyakkan kes sebelum ini.