Budak empat tahun pandu kereta beli coklat

Sebastian memandu SUV milik moyang lelakinya ke sebuah stesen minyak untuk membeli coklat. - Foto Fox News
A
A

MINNESOTA - Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dari Minnesota, Amerika Syarikat mengambil langkah ekstrem demi mendapatkan coklat kegemarannya.

Dalam kejadian pagi Selasa minggu lalu, kanak-kanak bernama Sebastian itu dilaporkan mengambil kunci kenderaan SUV milik moyang lelakinya dan memandu ke sebuah stesen minyak untuk membeli coklat.

Sebastian berjaya memandu SUV tersebut melalui jalan perumahan sebelum memasuki jalan raya besar pada waktu puncak.

Saksi melaporkan melihat sebuah kenderaan dipandu secara melulu sebelum memasuki kawasan parkir sebuah stesen minyak di mana Sebastian 'disambut' pihak polis.

Kenderaan dipandu Sebastian mengalami kerosakan dipercayai akibat terlanggar pokok. - Foto Fox News
Kenderaan dipandu Sebastian mengalami kerosakan dipercayai akibat terlanggar pokok. - Foto Fox News

Tiada sesiapa cedera dalam insiden terbabit namun beberapa peti surat di kawasan kediamannya di Blaine didapati rosak dipercayai akibat dilanggar.

Difahamkan, Sebastian turut melanggar sebatang pokok menyebabkan sebahagian bumper depan kenderaan itu tercabut.

"Panik, bimbang...perasaan bercampur baur, cuba memahami apa yang terjadi," kata ibu Sebastian, Jenna Swenson kepada Fox News.

Menurut moyang lelaki Sebastian, Roy Becker, kanak-kanak itu sering meniru perbuatan yang dilihatnya.

Sementara itu, Kapten Polis Blaine, Mark Boerboom berkata, ini kali pertama dia melihat pemandu semuda itu memandu kenderaan.

Ekoran kejadian mencemaskan itu, keluarga Sebastian kini memastikan kunci kereta masing-masing disimpan di tempat selamat. - skynews


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia