MH17: Keluarga tuntut hukuman setimpal

Habibah sedih mengenangkan kejadian menimpa anak perempuannya kira-kira lima tahun lepas. Gambar kanan, Habibah menunjukkan gambar anak perempuannya, Azrina yang terkorban dalam kejadian nahas MH17 pada 2014.
A
A

ALOR SETAR - Keluarga mangsa nahas MH17, Habibah Ismail dari Kampung Kelompang, di sini, mahukan hukuman setimpal untuk suspek yang menyebabkan kematian anak perempuannya kira-kira lima tahun lepas.

Ibunya, Habibah Ismail, 70, berkata, dia kehilangan anak kedua dari empat adik beradik itu, Azrina Yakob,41, yang merupakan kru kabin dalam nahas MH17 pada 2014 itu.

Kata Habibah, dia menunggu selama lima tahun untuk melihat kematian anak perempuan yang terkorban apabila pesawat itu ditembak pada 17 Julai 2014 untuk mendapat pembelaan sewajarnya.

"Selama lima tahun makcik menanti, hari ini doa makcik termakbul apabila pihak bertanggungjawab apabila Pasukan Penyiasat Bersama (JIT) mendedahkan empat suspek dikenal pasti menjadi perancang utama insiden MH17 itu.

"Jadi, makcik harap hukuman setimpal dikenakan kepada mereka bertanggungjawab yang menyebabkan kejadian nahas itu berlaku," katanya dalam sidang media di Food Court Aeon Big, di sini hari ini.

Menurutnya, hasrat sama diluahkan mereka sekeluarga termasuklah arwah suaminya, Yako, 75, yang meninggal dunia akibat kencing manis kira-kira tiga tahun lepas.

Kata Habibah, insiden tembakan mengorbankan seramai 298 penumpang termasuklah anak perempuan tidak sepatutnya berlaku, sekali gus diharapkan pelaku dikenakan tindakan sewajarnya.

"Sehingga kini, mak cik tidak pernah peluang menziarahi kubur Azrina yang dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Al-Amin Assam Kumbang, Taiping di sini, setiap kali ada peluang apabila berasa rindu terhadap arwah," katanya.

Tidak dinafikan, katanya, dia berasa sedih apabila menyambut Aidilfitri memandangkan Azrina tidak pernah melepaskan peluang untuk meraikan Aidilfitri bersama mereka sekeluarga.

"Memang sedih, namun makcik cuba untuk melupakan kejadian yang berlaku kepada anak makcik itu sekali gus tabah menempuhi dugaan diberikan ALLAH SWT," katanya.

Habibah berkata, dia sentiasa mendapatkan perkembangan semasa berkaitan nahas itu semenjak lima tahun lepas tak kira melalui televisyen ataupun saluran lain seperti Youtube.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan JIT mendedahkan empat suspek dikenal pasti sebagai perancang utama insiden Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 2014 dalam sidang media di Belanda hari ini.

Berdasarkan laporan pasukan penyiasat JIT, empat suspek bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Donetsk People's Republic itu terdiri daripada seorang warga Ukraine, manakala tiga suspek lagi warga Rusia.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia