33 kes dikesan sepanjang SHMMP

A Sivanesan
A Sivanesan
A
A
A

IPOH - Sebanyak 33 kes telah direkodkan sepanjang tempoh berlangsungnya Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) sempena Hari Raya Aidilfitri yang berakhir hari ini.

Exco Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia negeri, A Sivanesan berkata, kesemua kes tersebut dikesan menerusi pemeriksaan ke atas 5,386 premis peruncit dan pemborong yang dijalankan sejak 21 Mei lalu.

“Daripada jumlah itu, 32 kes membabitkan kegagalan peniaga menggunakan tanda harga khas berwarna merah jambu pada barangan harga terkawal seperti ayam, telur, daging, cili kering dan lain-lain lagi.

“Satu kes lagi adalah kesalahan tiada tanda harga. Dalam itu, nilai rampasan yang dicatatkan adalah RM2,031.60 manakala nilai kompaun berjumlah RM3,500 selain menerima satu aduan," katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya berpuas hati dengan perlaksanaan skim itu dengan tiada aduan berkaitan bekalan barang kawalan.

“Selain itu, tahap pematuhan peniaga adalah baik. Mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan seperti menjual barang kawalan tidak melebihi harga maksimum, memastikan bekalan mencukupi, mempamerkan tanda harga khas dan menggunakan alat timbang dan sukat yang telah ditentusahkan.

“Terdapat juga barang kawalan yang dijual lebih rendah daripada harga maksimum yang ditetapkan dan harga serta bekalan barangan keperluan lain didapati stabil di pasaran,” katanya.

Sivanesan berkata, pencapaian itu menunjukkan keprihatinan kerajaan membantu rakyat berbelanja untuk membeli barangan keperluan pada harga berpatutan ketika musim perayaan.

Artikel Berkaitan: