Pelarian Yaman di Malaysia serah memorandum kepada UNCHR

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 40 pelarian Yaman yang berada di Malaysia pada Rabu berhimpun secara aman di hadapan pejabat Pesuruhjaya Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) Malaysia, di sini, bagi menyerahkan memorandum menuntut hak asasi komuniti itu.

Memorandum itu diserahkan kepada Pesuruhjaya Tinggi UNCHR, Filippo Grandi oleh aktivis Yaman, Leena Al-Mujahed melalui Timbalan Wakil UNCHR Malaysia, Maja Lazic.

Leena, yang juga seorang pelarian berkata, mereka mewakili kira-kira 7,000 pelarian Yaman di Malaysia bagi mendapatkan hak mereka termasuk bantuan kewangan, insuran kesihatan dan peluang pekerjaan

Menurutnya, situasi pelarian Yaman ketika ini mendukacitakan kerana hak asasi mereka sebagai pelarian diabaikan dan UNHCR gagal memainkan peranan sewajarnya.

“Melalui perhimpunan hari ini, pihak UNCHR Malaysia telah memaklumkan akan mengadakan mesyuarat bagi membincangkan isu-isu yang dibangkitkan komuniti kami.

“Kami akan menunggu dan mengharapkan maklum balas positif daripada mereka secepat mungkin,” katanya kepada Bernama selepas perhimpunan dan penyerahan memorandum itu yang berlansung kira-kira sejam.

Leena berkata antara intipati terkandung dalam memorandum itu, adalah menuntut hak untuk program penempatan di negara ketiga, hak pendidikan dan vokasional asas dan hak insuran kesihatan dan program pekerjaan untuk pelarian.

Menurut laman web UNHCR, seseorang pelarian berhak mendapat perlindungan suaka yang melangkaui keselamatan fizikal.

Artikel Berkaitan:

“Pelarian perlu mendapat sekurang-kurangnya hak dan pertolongan asas yang sama seperti warga asing yang menetap secara sah, termasuk kebebasan bersuara, bebas bergerak dan tidak dizalimi dan menerima layanan tidak adil.

“Ia termasuk hak ekonomi dan sosial. Pelarian perlu mendapat akses rawatan perubatan, persekolahan dan hak bekerja,” menurut laman web itu.

Sementara itu, Ketua Komuniti Pelarian Yaman, Waleed Al-Fakih berkata perhimpunan hari ini untuk mendesak UNCHR mengambil pendirian dan bersifat jujur dalam menyelesaikan masalah pelarian Yaman di negara ini.

“Kami sudah menetap di Malaysia sejak lapan tahun lepas dan hanya mempunyai kad UNCHR tanpa diberi hak sebagai pelarian...permohonan kami untuk penempatan semula ke negara ketiga turut dibekukan.

“Kami mengharungi kehidupan yang susah tanpa tempat tinggal tetap dan tanpa kerja untuk menyara keluarga,” katanya.

Sehingga akhir Mei 2019, kira-kira 173,700 pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia.

Daripada jumlah itu, kira-kira 93,000 adalah etnik Rohingya, 24,000 (China), 9,700 (Muslim Myanmar), 4,000 (Rakhin & Arakan) dan 23,300 lagi dari negara seperti Pakistan, Yaman, Somalia, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq, Palestin dan Syria. - Bernama