X

Kindly register in order to view this article
!

MEA adakan konsultasi berkaitan gagasan kemakmuran bersama

Mohamed Azmin Ali
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Hal Ehwal Ekonomi akan mengadakan konsultasi dan mendapatkan maklum balas daripada semua pemegang kepentingan termasuk kumpulan pekerja, peniaga dan peserta industri untuk memastikan Gagasan Kemakmuran Bersama menjadi milik rakyat secara bersama.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata kerajaan mengharapkan gagasan itu, yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 9 Mei lepas sempena setahun Malaysia di bawah pentadbiran kerajaan baharu, tidak hanya ditetapkan oleh kerajaan untuk rakyat.

“(Gagasan itu) seharusnya mendapat pandangan dan maklum balas daripada rakyat, industri dan masyarakat sivil supaya ia mampu menjawab dan menyelesaikan kehendak dan keperluan rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu pada 9 Mei lepas, Dr Mahathir menggariskan tujuh teras strategik untuk memastikan matlamat kemakmuran bersama yang dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat dicapai.

Teras tersebut ialah penstrukturan dan penambahbaikan ekosistem perniagaan dan industri negara; sektor pertumbuhan baharu; reformasi bakat dan sumber tenaga negara; memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja; memperkukuhkan kesejahteraan sosial; pembangunan wilayah yang inklusif; peningkatan modal sosial masyarakat.

Selain itu, Mohamed Azmin berkata kementerian itu telah mengambil langkah segera bagi memastikan Gagasan Kemakmuran Bersama menjadi falsafah dan tulang belakang kepada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang prosesnya baru sahaja dimulakan.

Beliau berkata gagasan itu bukan sekadar untuk meningkatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia malah mengutamakan kepentingan rakyat.

“Kita percaya potensi ekonomi negara pada hari ini masih tidak dimanfaatkan secara menyeluruh dan mampu berkembang sekurang-kurang sekali ganda,” katanya.

Gagasan itu menekankan keutamaan membawa Malaysia ke arah pertumbuhan ekonomi dan negara dengan lebih pesat serta keluar daripada model ekonomi berintensifkan buruh kepada ekonomi masa depan yang menekankan penerimagunaan teknologi, automasi dan ekonomi intelek, katanya.

Mohamed Azmin berkata ia turut menumpukan penggunaan bakat sumber manusia dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) negara selain memastikan kekayaan yang dihasilkan negara dapat diagihkan secara lebih menyeluruh, meningkatkan pendapatan rakyat dan seterusnya mengurangkan jurang ekonomi rakyat tanpa mengira kelas, kaum mahupun wilayah.

Kemakmuran bersama harus memastikan jurang ekonomi, pendapatan dan penyertaan dalam rantaian bekalan dapat diminimumkan terutama dalam kalangan masyarakat Melayu, Orang Asli, bumiputera Sabah dan Sarawak serta golongan relatif miskin supaya kekayaan negara dapat benar-benar dirasai bersama, katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus