RM80 sehari hasil edar dadah

Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas.
Allaudeen (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada dadah yang berjaya dirampas.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dek kerana pendapatan sehingga RM80 sehari, seorang lelaki sanggup menjadikan kediamannya tempat penyimpanan dadah, sebelum mengedarkannya kepada pelanggan.

Bukan itu sahaja, lelaki berusia 37 tahun itu sanggup menjalankan kegiatan tersebut tatkala bapanya yang berusia 70-an terlantar akibat strok di rumah.

Bagaimanapun, kelicikannya tidak bertahan lama setelah berjaya diberkas sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Terengganu di kediamannya di Losong, di sini semalam, kira-kira jam 11 pagi.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, polis percaya penahanan lelaki itu berjaya melumpuhkan aktiviti pengedaran dadah oleh suspek di sekitar Kuala Terengganu.

“Tangkapan yang dibuat adalah hasil risikan yang dijalankan lebih dua minggu. Selain menahan suspek, kita turut merampas pelbagai jenis dadah, dengan nilai keseluruhan RM10,700 dan menyita sebuah motosikal milik suspek.

“Antara dadah yang dirampas ialah heroin dengan anggaran berat 84g bernilai RM6,400, pil kuda (methamphetamine) anggaran 40g bernilai RM4,000 dan ganja (kanabis) anggaran berat 360g bernilai RM300,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu di sini hari ini.

Jelasnya, ujian saringan awal polis mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine, thc dan morfin.

Suspek juga mempunyai rekod kesalahan lampau dadah, mengikut Seksyen 12 (2) ADB 1952 pada tahun 2016.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dan suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 25 Jun ini.

Sementara itu, dalam kes berasingan, tiga beradik diberkas oleh sepasukan polis di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Arang, di sini pada 16 Jun lalu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

“Serbuan telah dibuat pada jam 10.10 pagi setelah hasil risikan yang dijalankan hampir seminggu. Ketiga-tiga suspek yang berusia 19, 23 dan 26 tahun itu ditahan dan polis turut merampas dadah bernilai RM8,250 dan menyita sebuah motosikal yang dipercayai milik suspek.

“Dadah yang dirampas adalah pil kuda (methamphetamine) dengan anggaran berat 132.06g bernilai RM5,700 dan erimin 5 (nimetazepam) anggaran 86.94g bernilai RM2,550,” katanya.

Jelas beliau, ketiga-tiga beradik itu bergiat aktif dalam aktiviti pengedaran dadah bermula penghujung tahun lalu, malah dua daripadanya positif dadah jenis benzo dan methamphetamine dalam ujian saringan awal yang dibuat.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 39B ADB 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 23 Jun ini.