Perhilitan akan rampas beruk serang budak

Ady Ermanty menyerahkan borang Bantuan Amanah Mangsa Serangan Binatang Buas JKM kepada Nik Fazilah (kanan) di HRPZ II hari ini.
Ady Ermanty menyerahkan borang Bantuan Amanah Mangsa Serangan Binatang Buas JKM kepada Nik Fazilah (kanan) di HRPZ II hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU – Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan akan merampas beruk yang menyerang seorang kanak-kanak di Kampung Teluk Renjuna di Tumpat, kelmarin.

Pengarahnya, Ady Ermanty Haniff Mohamed Hanif berkata, ia dibuat bagi memudahkan siasatan untuk mencari punca sebenar haiwan itu bertindak liar.

“Kami akan bertemu dengan pemilik haiwan berkenaan dan mengambil pengesahan sama ada dia memiliki lesen untuk memelihara haiwan berkenaan.

“Jika pemilik tiada lesen, tindakan boleh diambil terhadap individu berkenaan mengikut Akta 716 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya pada sidang akhbar ketika melawat keadaan Muhammad Putra Rafiqi Mohd Rozaidi, 9, di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II hari ini.

Ady Ermanty berkata, pemelihara beruk perlu mendapatkan lesen iaitu kebenaran untuk memelihara untuk memanjat pokok kelapa dan bukan sekadar haiwan peliharaan.

Jika haiwan berkenaan sudah lanjut usia beliau juga menasihatkan penduduk, supaya menyerahkannya kepada Perhilitan dan tidak mengurung atau melepaskan sendiri haiwan tersebut.

Sementara itu, ibu mangsa, Nik Fazilah Mohd Nawi, 37, berkata, anak sulungnya, dimasukkan ke bilik pembedahan selepas mendapati kecederaan yang dihadapi agak serius.

Menurutnya, dia sudah bertemu dengan pemilik mamalia berkenaan dan memohon maaf dengan kejadian tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Anak saya masih fobia dengan kejadian itu sehingga menyebabkan dia kerap tersedar ketika tidur.

“Saya harap ia tidak menghantuinya dan dapat melupakan kejadian itu tidak lama lagi,” katanya selepas menerima borang Bantuan Amanah Mangsa Serangan Binatang Buas di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Kelmarin, Muhammad Putra cedera di bahagian badan selepas diserang beruk jantan ketika pulang dari rumah terbuka jirannya.

Dalam kejadian jam 6 petang itu, murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Beluru itu berjaya melepaskan diri selepas menendang beruk berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN Budak lelaki cedera diserang beruk ketika pulang beraya