Didik permata hati jadi hafiz, hafizah

ZIEN (kiri) dan Ezlinda (dua dari kiri) sentiasa memastikan keperluan Ziad di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa As Sunnah, Sunway Kayangan, Shah Alam, Selangor adalah mencukupi.
ZIEN (kiri) dan Ezlinda (dua dari kiri) sentiasa memastikan keperluan Ziad di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa As Sunnah, Sunway Kayangan, Shah Alam, Selangor adalah mencukupi.
A
A
A

JARUM jam menunjukkan pukul 11.30 pagi. Pekarangan di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa As Sunnah yang pada mulanya sepi bertukar riuh-rendah apabila para pelajar keluar dari kelas masing-masing. Sebenarnya, ia merupakan sesi rehat mereka.

Dari jauh kelihatan seorang pelajar lelaki berjubah dan berserban putih berjalan menuju ke arah pasangan suami isteri. Penampilannya persis seorang ustaz yang lengkap dengan sehelai selendang yang diletakkan kemas pada bahu kanannya.

Sejurus memberi salam, pelajar tersebut terus mencium tangan bapanya, Zien Hashim, 48, dan ibu tirinya, Noor Ezlinda Ismail, 35, yang setia menunggu ketibaannya hampir 30 minit.

"Ini anak sulung saya, Ziad Hasyirin yang sedang menuntut ilmu agama di sini. Meskipun jarak antara sekolah dan rumah kira-kira 10 kilometer tetapi kami hanya berpeluang bertemu dua minggu sekali.

"Selebihnya, dia perlu tinggal di asrama demi melunaskan tanggungjawab untuk menjadi seorang penghafaz al-Quran terbaik. Sedikitpun saya tidak berasa kesal apabila perlu 'berjauhan' dengannya asalkan Ziad dapat menumpukan sepenuh perhatian belajar ilmu agama bersama tenaga pelajar berkaliber," jelas Zien yang merupakan bapa kepada dua cahaya mata ketika ditemui Oh! Lelaki di Maahad Tahfiz Al-Quran Wa As Sunnah, Sunway Kayangan, Shah Alam, Selangor kelmarin.

Mengulas keputusannya menghantar Ziad berusia 14 tahun ke sekolah tahfiz berkenaan, Zien yang dilahirkan di Shah Alam, Selangor menjelaskan, matlamat utamanya adalah untuk melihat anak sulungnya itu bergelar al-hafiz.

Ilmu

Baginya, ibu dan bapa yang berjaya membentuk anak-anak yang sarat ilmu agama akan melahirkan barisan pemimpin negara mahupun pegawai berwibawa di dalam sesebuah organisasi.

Artikel Berkaitan:

"Saya dan isteri bersyukur kerana kami tidak perlu memaksa Ziad untuk belajar di sekolah tahfiz. Ini disebabkan sejak berusia sembilan tahun, dia sudah menunjukkan minat terhadap aliran ini susulan kecenderungan menyertai pelbagai aktiviti dan kuiz berteraskan agama Islam walaupun kadangkala tidak berjaya memenangi tempat utama.

"Bukan itu sahaja, selepas pulang dari sekolah, dia gemar memberi ceramah kepada ibunya mengenai nilai murni, aurat ataupun kisah teladan dengan meniru percakapan persis ustazah yang mengajar di dalam kelas,” jelasnya.

Bertitik tolak daripada situ, Zien dan isteri tekad merencanakan untuk menghantar anak lelakinya belajar di sekolah tahfiz terbaik. Usaha mereka berbalas. Niat murni dan doa dimakbulkan Allah apabila Ziad lulus setiap ujian sekali gus melayakkan diri menuntut di pusat tahfiz terbabit.

"Maahad Tahfiz Al-Quran Wa As Sunnah bukan sahaja menyediakan kemudahan kondusif malah turut menawarkan sistem pembelajaran lengkap untuk para pelajar. Namun begitu, ini tidak bermakna kami melepaskan tanggungjawab sepenuhnya kepada barisan pendidik dan bergantung harap pada aktiviti yang dijalankan di asrama sahaja.

"Lazimnya, ketika berada di rumah saya akan memastikan Ziad menjaga solat, membaca al-Quran dan melakukan hafazan supaya dia tidak leka dengan gangguan sekeliling seperti televisyen dan telefon pintar.

"Kita perlu faham dalam proses mencapai tahap kemajuan hafazan, anak-anak masih memerlukan sokongan daripada ahli keluarga khususnya ibu dan bapa,” ujarnya.

Selepas dua tahun belajar di maahad tersebut, Ziad nampaknya sudah berjaya menghafal sehingga juzuk tiga selain berubah menjadi individu berhemah dan tidak mudah memberontak seperti kebiasaan yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini.

"Saya berdoa semoga Ziad mampu menghafal sehingga juzuk 30 dengan sebaik-sebaiknya sebelum memilih bidang diminati di peringkat yang lebih tinggi. Setakat ini dia belum berkongsi cita-cita idaman tetapi pernah menyuarakan hasrat menuntut ilmu di Universiti al-Azhar, Mesir.

"Sebagai bapa, saya akan sentiasa berada di sampingnya dalam memberi panduan dan nasihat supaya dia bijak memilih cita-cita bertepatan dengan syariah Islam. Pada masa sama, dapat berbakti kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Kisah si cilik Ariana

Sementara itu, seorang bapa yang berusia 42 tahun, Mohd Azizul Abdullah memanjatkan kesyukuran apabila anak perempuannya, Ariana Sofea Muhammad Nazirul Azman, 12, atau Ariana menunjukkan kecenderungan mendalami ilmu agama Islam.

Anak gadisnya itu kini belajar di Kumpulan Pendidikan Sofa Al-Quran di Ampang, Selangor. "Alhamdulillah kerana Ariana antara generasi muda dalam keluarga meneruskan perjuangan adik lelaki saya, Mohd Azizi yang juga penghafaz al-Quran. Bagaimanapun, arwah meninggal dunia pada usia 32 tahun.

"Meskipun saya merupakan bapa tiri, saya sentiasa berusaha menyediakan keperluan pembelajaran Ariana dari aspek kewangan dan nasihat berterusan.

"Kami sedar misi melahirkan penghafaz al-Quran bukan mudah. Kami mahu dia ikhlas dan fokus dalam menuntut ilmu agama," katanya kepada Oh! Lelaki mengenai Ariana yang merupakan cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu isterinya, Zanariah Abdullah, 37.

Bercerita lanjut, anak kelahiran Besut, Terengganu itu berkata, inisiatifnya bersama isteri menghantar si cilik berkenaan ke sekolah agama timbul selepas Ariana pulang dari Kem Tahfiz yang disertai selama seminggu di Melaka pada tahun 2015.

"Ketika itu, dia berusia lapan tahun. Di kem berkenaan, dia bukan sahaja perlu berdikari mengurus diri sendiri bahkan diberi pendedahan mengenali al-Quran, kelebihan menghafal al-Quran, bengkel tajwid, adab kepada al-Quran, teknik menghafaz termasuklah aktiviti qiam dan solat sunat yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.

"Sekembalinya dari kem tahfiz tersebut, dia menyuarakan hasrat untuk terus mempelajari al-Quran. Kami tidak menjangka perubahan Ariana Sofea dalam sekelip mata meskipun jauh di sudut hati, isteri sememangnya mengimpikan Ariana menghafaz al-Quran pada usia muda," ceritanya.

Tanpa membuang masa, Mohd Azizul berkata, beliau terus mengenalpasti sekolah agama yang sesuai sehinggalah dipertemukan dengan Kumpulan Pendidikan Sofa Al-Quran di Seremban, Negeri Sembilan.

"Ariana Sofea lulus melalui ujian bertulis, sesi temu duga dan bacaan al-Quran," tutur Mohd Azizul yang kini dalam fasa memupuk minat anak lelakinya, Muhammad Yusuf berusia enam tahun untuk mengikut jejak kakaknya.

Perbezaan positif

Bercerita mengenai perbezaan Ariana selepas lima tahun mendalami ilmu agama, Mohd Azizul menyifatkan anaknya lebih matang daripada usia sebenar.

"Dia begitu gembira dengan kehidupan di asrama kerana berpeluang belajar bersama rakan-rakan dan para ustazah. Menariknya, pihak sekolah sering menjemput para ulama dari seluruh dunia berkongsi ilmu di institusi itu.

"Selain fokus kepada hafazan, dia juga aktif menyertai aktiviti sukan memanah. Perubahan positifnya pada hari ini hasil kerjasama pihak sekolah dan ibu bapa," jelasnya.

Dalam pada itu, lelaki itu tidak dapat menyembunyikan rasa gembira apabila anaknya berjaya menghafal 13 juzuk yang pertama pada peringkat pramenengah.

Sempena Hari Bapa yang diraikan baru-baru ini, Mohd Azizul mahupun Zien berazam untuk terus membawa kegembiraan dan berikhtiar memberikan yang terbaik kepada anak-anak dan ahli keluarga lain mengikut kemampuan.

"Dalam hal keluarga atau kerjaya, apabila kita mempunyai ‘support system’ yang baik, insya-Allah segalanya boleh dilakukan. Yakin kepada kuasa doa di samping berusaha dengan gigih," ujarnya menutup bicara pada petang itu.

MOHD AZIZUL (kiri) dan Zanariah (kanan) memasang impian semoga Ariana (tengah) berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.
MOHD AZIZUL (kiri) dan Zanariah (kanan) memasang impian semoga Ariana (tengah) berjaya menghafal 30 juzuk al-Quran.