Peniaga Pasar Payang sedia berpindah

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (kanan) meninjau keadaan di bangunan sementara yang akan menempatkan peniaga Pasar Payang.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (kanan) meninjau keadaan di bangunan sementara yang akan menempatkan peniaga Pasar Payang.
A
A
A

KUALA TERENGGANU – Peniaga di pasar warisan, Pasar Besar Kedai Payang di sini bersedia untuk berpindah ke lokasi perniagaan sementara di Pasar Payang 2 pada bila-bila masa mengikut tarikh yang ditetapkan.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Terengganu Cawangan Kuala Terengganu, Zakaria Yusoff, 56, berkata, setakat ini belum ada tarikh tepat ditetapkan untuk mereka berpindah kerana masih terdapat kerja-kerja akhir yang perlu disiapkan di bangunan baharu itu.

“Kita dimaklumkan tarikh untuk berpindah akan diputuskan menerusi mesyuarat jawatankuasa kerajaan negeri.

“Jadi, kita kini sedang menunggu tarikh perpindahan yang akan dimaklumkan oleh Menteri Besar Terengganu atau pihak Exco kerajaan negeri,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, tempoh perpindahan bagi setiap peniaga tidak sama bergantung pada jenis perniagaan yang diusahakan.

“Bagi peniaga kedai emas, kami memerlukan sekurang-kurangnya 20 hari atau di bawah satu bulan untuk siap berpindah dan kembali berniaga di kerana perlu membuat susun atur semula sebelum mula beroperasi di bangunan sementara itu.

“Begitu juga bagi peniaga kain pasang dan pakaian. Mereka juga memerlukan masa untuk pindahkan barang-barang sebelum boleh berniaga sepenuhnya di bangunan sementara itu nanti,” katanya.

Zakaria berkata, terdapat 26 kedai emas dan 55 kedai yang menjalankan perniagaan menjual kain batik serta kain pasang di Pasar Payang.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, Zakaria berkata, terdapat juga peniaga yang boleh terus beroperasi selepas berpindah seperti peniaga kedai makan, barangan makanan dan seumpamanya.

Zakaria (dua, kiri) bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (tengah) meninjau keadaan bangunan sementara yang akan menempatkan peniaga Pasar Payang.
Zakaria (dua, kiri) bersama Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim (tengah) meninjau keadaan bangunan sementara yang akan menempatkan peniaga Pasar Payang.

“Peniaga-peniaga ini mungkin tidak ambil masa yang lama untuk ‘set up’ balik kedai. Mungkin juga mereka boleh terus berniaga pada atau sehari selepas barang-barang siap dipunggah ke lokasi sementara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Zakaria berkata, penyerahan kunci bagi fasa pertama oleh Majlis Bandar raya Kuala Terengganu (MBKT) kepada para peniaga yang telah melalui proses temu duga akan dilakukan esok.

“Kita ada beberapa fasa penyerahan kunci ini yang mana akan dimulakan dengan fasa pertama esok.

“Selepas itu akan ada beberapa lagi fasa penyerahan sehinggalah selesai diagihkan bagi 762 lot niaga di bangunan baharu itu.

Mengulas lanjut, katanya, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga telah luluskan RM500,000 untuk pembinaan lokasi sementara bagi menempatkan kira-kira 500 peniaga untuk jualan sayur dan barangan mentah lain.

“Disebabkan lot niaga sementara yang disediakan ini tidak mampu menampung keseluruhan peniaga sedia ada di Pasar Payang, kerajaan akan sediakan lokasi baharu untuk mereka berniaga sementara iaitu berdekatan Dataran Shahbandar,” katanya.

Bangunan lama Pasar Besar Kedai Payang atau Pasar Payang yang berusia 51 tahun itu telah beroperasi sejak 1968 menempatkan kira-kira 1,000 peniaga yang menjalankan pelbagai bentuk perniagaan.

Bangunan pasar lama yang ‘sarat’ dengan pelbagai kenangan itu akan dirobohkan dan diganti dengan pasar baharu yang lebih moden dan selesa.

Projek di bawah KPKT itu dianggarkan menelan kos kira-kira RM78 juta dengan RM28 juta bagi pembinaan lokasi sementara Pasar Payang 2, manakala, kos bagi pembinaan semula Pasar Payang dijangka menelan belanja kira-kira RM50 juta.