Ibu lihat pengebumian anak melalui panggilan video

Jenazah Abdul Syaid dikebumikan bersebelahan kubur sahabat baiknya yang meninggal dunia akibat kemalangan tersebut. Gambar kecil: Allahyarham Abdul Syaid Abdul Razak.
A
A

SERENDAH - Pembonceng motosikal yang terbabit kemalangan di hadapan stesen minyak Petronas Serendah pada 28 Mei lalu, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan, Isnin lalu.

Mangsa, Abdul Syaid Abdul Razak, 21, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 8.15 malam di Hospital Selayang selepas 20 hari bertarung nyawa akibat kecederaan parah.

Allahyarham Abdul Syaid menyusuli pemergian sahabat baiknya juga penunggang motosikal, Rozaimy Adam, 21, yang meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan tersebut.

Menurut Raihan Adam, 34, iaitu kakak kepada arwah Rozaimy, kedua-dua Allahyarham bersahabat baik sejak berusia 7 tahun dengan menetap di Flat Taman Seri Murni, Selayang.

Katanya, motosikal ditunggang dua sahabat itu melanggar sebuah lori tangki di hadapan stesen minyak berkenaan.

"Dalam kemalangan malam 23 Ramadan, adik saya meninggal dunia manakala Abdul Syaid parah dengan pendarahan di otak, paru-paru dan mata.

"Abdul Syaid berada di unit rawatan rapi (ICU) selama 15 hari sebelum diletakkan di wad biasa sejak lima hari lalu.

"Kelmarin arwah menjalani pembedahan di bahagian paru-paru namun ALLAH lebih menyayanginya apabila menghembuskan nafas terakhir selepas satu jam tamat pembedahan," katanya kepada Sinar Harian.

Keratan akhbar ini bertarikh 30 Mei melaporkan kejadian kemalangan dua sahabat itu yang dalam perjalanan pulang dari Serendah ke Selayang.
Keratan akhbar ini bertarikh 30 Mei melaporkan kejadian kemalangan dua sahabat itu yang dalam perjalanan pulang dari Serendah ke Selayang.

Raihan berkata, arwah Abdul Syaid bekerja di kedai komputer dan tinggal bersama seorang adik lelaki berusia 14 tahun selepas kematian bapa dua tahun lalu.

Menurutnya, ibu kepada dua-beradik itu merupakan warga negara Indonesia dan terpaksa kembali ke Jakarta pada tahun lepas kerana tamat tempoh visa.

"Mereka ada seorang lagi adik orang kurang upaya (OKU) tapi sudah meninggal dunia sebelum emak mereka pulang ke Indonesia.

"Sepanjang arwah berada di hospital akibat kemalangan, adiknya berusia 14 tahun tinggal sendirian di rumah yang diwakafkan oleh kawan arwah bapa mereka.

"Memandangkan sudah lama kenal, keluarga saya dan jiran berdekatan turut membantu makan minum adiknya itu," katanya.

Raihan berkata, mereka turut mengutip sumbangan daripada kenalan bagi memastikan ibu kepada arwah Abdul Syaid dapat datang ke negara ini untuk menemani anak di hospital.

Menurutnya, ibu yang dikenali dengan panggilan Cik Wati tidak berkemampuan untuk menampung kos memperbaharui visa.

"Meskipun sebanyak RM2,000 berjaya diperoleh namun urusan berkenaan tidak sempat diselesaikan.

"Arwah pergi buat selama-lamanya tanpa ibu di sisi dan jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Lama Kampung Selayang, kira-kira jam 11 pagi, kelmarin.

"Saya membuat panggilan video bagi membolehkan ibunya menyaksikan pengebumian arwah anak dan kubur Allahyarham Abdul Syaid bersebelahan dengan kubur arwah adik saya," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia