Wanita tak mengaku sorok wang

Norma ketika dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, terhadap pertuduhan membantu menyembunyikan wang.
A
A

MELAKA TENGAH - Seorang pegawai khidmat pelanggan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini, terhadap pertuduhan membantu menyembunyikan wang pada Februari lalu.

Norma Shafie, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah dihadapan Majistret Teoh Shu Yee.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh yang bertugas di Klinik Kesihatan Sungai Buloh, Selangor didakwa menolong menyembunyikan wang hasil daripada penipuan menyamar sebagai pegawai polis menerusi panggilan telefon daripada Mohamad Dahlan Alib, 42.

Kesalahan itu dilakukannya di CIMB Bank, Jalan Bendahara, Melaka Tengah, pada 27 hingga 28 Febuari tahun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Puteri Nor Nadia Mohamed Iqbal kemudian mencadangkan jaminan sebanyak RM6,000.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan mempunyai tiga anak yang bersekolah dan berpendapatan hanya RM2,000 manakala suaminya hanya bergaji RM1,300.

Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 dan sebutan semula pada 21 Ogos depan termasuk serahan dokumen.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia