Perak minta KPM segerakan lantikan pengarah pendidikan baharu

Ahmad Faizal (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri dan wakil skeolah yang menerima agihan peruntukan hari ini.
Ahmad Faizal (tengah) bersama Exco Kerajaan Negeri dan wakil skeolah yang menerima agihan peruntukan hari ini.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak meminta Kementerian Pendidikan menyegerakan proses lantikan Pengarah Pendidikan negeri yang baharu selepas kekosongan jawatan itu tidak diisi sejak lebih lapan bulan lalu.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, lantikan itu perlu disegerakan bagi menamatkan kegusaran semua pihak terutama di pihak Jabatan Pendidikan Negeri yang sehingga kini tidak mempunyai pengarah.

“Saya sendiri telah berbincang dengan Yang Berhormat Menteri (Dr Maszlee Malik) mengenai perkara ini, saya fikir sudah tiba masanya kita mempercepatkan proses lantikan kerana sudah tentu timbalan pengarah tidak mampu untuk menjalan tugas dengan begitu lama.

“Di peringkat negeri, kita telah berbincang dan bersetuju dengan seorang calon, namanya telah dihantar ke peringkat kementerian dua bulan lalu, kita harap calon ini dapat melapor diri bertugas secepat mungkin,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Peruntukan Kepada Sekolah-sekolah Separuh Bantuan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan hari ini.

Pada Oktober lalu, Datuk Mat Lazim Idris yang memegang jawatan sebagai Pengarah Pendidikan Perak telah bersara wajib. Tugas beliau kemudian dipangku Timbalan Pengarah, Mohd Rosli Ahmad.

Dalam majlis itu, sebanyak 261 sekolah separuh bantuan kerajaan di Perak menerima agihan peruntukan dengan jumlah keseluruhan RM3 juta.

Ahmad Faizal berkata, peruntukan itu bakal memberi manfaat kepada seramai 85,825 pelajar menerusi pelbagai program pembangunan yang dilaksanakan sekolah masing-masing.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan negeri memberi kebebasan kepada pihak sekolah untuk menentukan bagaimana wang tersebut mahu dibelanjakan, sama ada untuk menganjurkan program tertentu atau membeli barangan keperluan, segalanya terpulang kepada sekolah berkenaan,” katanya.