Isa Samad, lapan individu diarah fail penyataan pembelaan

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - Foto Bernama
Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengerusi FGV Holdings Berhad, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan lapan individu lain diarahkan memfailkan penyataan pembelaan masing-masing dalam saman dikemukakan syarikat itu yang menuntut ganti rugi RM514 juta berhubung pemerolehan Asia Plantation Ltd. (APL) pada tahun 2014.

Peguam Lavinia Kumaraendran, yang mewakili Mohd Isa memaklumkan perkara itu kepada pemberita selepas pengurusan kes di dalam kamar Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Farah Shuhada Ramli hari ini.

Lavinia berkata, kesemua defendan itu termasuk anak guamnya diarah memfailkan penyataan pembelaan sebelum atau pada 31 Januari ini.

"Pengurusan kes selanjutnya ditetapkan pada 12 Februari di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Azimah Omar," kata peguam itu.

Selain Mohd Isa, individu lain yang perlu memfailkan pembelaan adalah bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat itu, Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah; bekas Pengurus Besar Kanan Kluster Hiliran, Rasydan Alias Mohamed; bekas Ketua Pegawai Kewangan Ahmad Tifli Mohd Talha dan lima bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Tan Sri Ismee Ismail; Tan Sri Wan Aziz Wan Abdullah; Tan Sri Sulaiman Mahbob; Datuk Nozirah Bahari dan Datuk Fazlur Rahman Ebrahim.

Lavinia turut memberitahu bahawa sembilan defendan itu telah menerima salinan tuntutan saman pada 19 Disember manakala lima lagi defendan lain masih belum menerima tuntutan saman berkenaan.

Mereka ialah bekas Naib Presiden Pembangunan Perniagaan Kluster Hiliran, Farisan Mokhtar dan tiga bekas Pengarah Bukan Eksekutif FGV iaitu Datuk Omar Salim, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, Datuk Yahaya Abd Jabar dan Datuk Faizoull Ahmad.

FGV Holdings Berhad selaku plaintif memfailkan saman pada Nov lepas berikutan kerugian yang dialami syarikat itu akibat daripada kegagalan kesemua defendan melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing serta kesetiaan atau kewajipan untuk melakukan penjagaan, kemahiran dan ketekunan yang munasabah.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan syarikat itu kepada Bursa Malaysia, saman tersebut adalah berkenaan dengan pengambilalihan 100 peratus kepentingan ekuiti dalam APL melalui tawaran tunai bersyarat sukarela pada tahun 2014.

Oleh itu, FGV menuntut RM514 juta untuk kerugian yang timbul daripada pengambilalihan, atau secara alternatif, ganti rugi atau kehilangan dari pengambilalihan yang dinilai oleh mahkamah selain menuntut ganti rugi am, faedah dan kos. - Bernama