Tujuan pembiayaan SRC bertentangan jaminan kerajaan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa jaminan kerajaan bagi pinjaman kedua Syarikat SRC International Sdn Bhd berjumlah RM2 bilion adalah bertentangan dengan tujuan pembiayaan yang diluluskan jemaah menteri kepada syarikat itu.

Timbalan Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik Kementerian Kewangan, Afidah Azwa Abdul Aziz, 44, berkata jaminan kerajaan sepatutnya bertujuan membiayai pelaburan dalam sektor sumber asli namun SRC menyatakan tujuannya adalah untuk membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan syarikat.

Beliau berkata Kementerian Kewangan kemudian, dalam satu memorandum, telah memohon kepada mesyuarat jemaah menteri untuk meminda tujuan pinjaman yang dinyatakan SRC kepada pelaburan dalam sektor sumber asli.

Saksi ke-41 pendakwaan itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Suhaimi Ibrahim pada hari ke-28 perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Suhaimi: Jaminan yang akan diluluskan bertujuan semata-mata supaya SRC dapat pinjaman untuk tujuan apa?

Afidah Azwa: Untuk biayai pelaburan dalam sektor sumber asli.

Suhaimi: Mengikut memo, bacakan. Afidah Azwa: Syarikat SRC memutuskan untuk memperoleh pembiayaan daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP). Panel KWAP telah meluluskan RM2 bilion dengan terma dan syarat pinjaman. Tujuan bagi membiayai aktiviti pelaburan am dan modal pusingan SRC.

Suhaimi: Adakah ini bersamaan dengan keputusan jemaah menteri yang dibacakan (dalam penyataan saksi) tadi?

Artikel Berkaitan:

Afidah Azwa: Tidak.

Suhaimi: Memo ini diangkat kepada Menteri Kewangan ketika itu (Najib Razak) untuk persetujuan?

Afidah Azwa: Ya.

Najib, 66, didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah, satu pertuduhan salah guna kedudukan dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Perbicaraan berlangsung di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali. - Bernama