Perak nafi Lapangan Terbang Tekah diserahkan kepada pemaju

Ahmad Faizal menyampaikan peruntukan kepada wakil sekolah.
Ahmad Faizal menyampaikan peruntukan kepada wakil sekolah.
A
A
A

IPOH – Kerajaan Perak tidak pernah meluluskan tapak landasan Lapangan Terbang Tekah di Taiping kepada mana-mana pihak bagi tujuan pembangunan seperti mana didakwa sesetengah pihak.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, baik pada pentadbiran Barisan Nasional (BN) mahupun dibawah Pakatan Harapan (PH) sekarang, perkara itu tidak pernah berlaku.

Menurutnya, hanya sebahagian tanah di kawasan itu iaitu di luar kawasan landasan pernah diserahkan kepada Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc), namun ia telah dibatalkan dan diserah kembali kepada kerajaan negeri.

“Saya nak nyatakan dan membuat pengesahan bahawa ianya tidak pernah diluluskan kepada mana-mana pihak sekalipun, perkara itu tidak berlaku malah kerajaan PH di bawah pimpinan saya telah menyerahkan kembali tanah yang pernah diluluskan kepada MB Inc sebelum ini kepada kerajaan negeri,” katanya pada sidang media hari ini.

Perbincangan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan beliau pagi tadi turut mencadangkan agar kawasan berkenaan diwartakan sebagai tapak warisan negeri.

“Kita telah minta pihak Pejabat Pengarah Tanah dan Galian menyegerakan perkara ini agar kawasan itu dapat diwartakan sebagai tapak warisan.

“Dengan cara ini kita tak perlu nak bincang lagi mana-mana proposal untuk pembangunan di kawasan itu,” katanya.

Jumaat lepas, seramai 200 ahli Gabungan Persatuan Pelindung Warisan Taiping mengadakan perhimpunan aman membantah kemungkinan transaksi penjualan tanah Lapangan Terbang Tekah kepada sebuah syarikat pemaju.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Faizal berkata, pihaknya bersetuju dan kagum dengan semangat cintakan warisan seperti yang ditunjukkan peserta demonstrasi berkenaan, namun mereka perlulah mendapatkan fakta yang tepat terlebih dahulu.

“Perkara ini telah tersebar luas dan sampai juga ke tangan saya... ada yang tunjuk pelan bahawa landasan itu telah diluluskan kepada MB Inc, Tekah Maju Sdn Bhd dan sebagainya.

“Adalah penting untuk kita periksa dahulu faktanya, jangan buat demonstrasi atas sesuatu perkara yang tidak betul,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, kerajaan negeri bersedia untuk memperhalusi cadangan diberikan barisan kepimpinan Pemuda PH negeri ini agar keseluruhan Taman Tasik Taiping merangkumi Bukit Larut diwartakan dan dinaik taraf sebagai Taman Tasik Diraja Taiping.

Katanya, cadangan itu dianggap menarik dan selari dengan pengiktirafan yang diterima bandar Taiping sebagai bandar ketiga paling lestari di dunia dalam Anugerah 100 Destinasi Paling Lestari 2019, Mac lalu.

“Atas kebanggaan itu, kita akan perhalusi cadangan diberikan dan sudah pasti perkara ini akan disembah maklum kepada baginda Sultan,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan peruntukan kepada 261 sekolah separuh bantuan kerajaan negeri melibatkan jumlah keseluruhan RM3 juta di Dewan Serbaguna Bangunan Perak Darul Ridzuan.

ARTIKEL BERKAITAN Selamatkan Lapangan Terbang Tekah