Johor cari baka durian unggul terbaharu

Tosrin (kiri) pada sidang media sempena penganjuran ekspo berkenaan di Pejabat Pertanian Johor Bahru, di sini, hari ini.
A
A

JOHOR BAHRU - Johor mahu mencari durian unggul bagi mengenalpasti baka-baka baru yang belum didaftarkan dalam Senarai Pendaftaran Varieti Tanaman Kebangsaan Jabatan Pertanian.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, penemuan baka durian unggul baru yang berpotensi itu boleh dikomersialkan di masa akan datang.

Menurutnya, durian unggul bermaksud mana-mana durian belum didaftar dan disyorkan serta berpotensi untuk dikomersialkan termasuk durian kampung.

"Oleh itu, bersempena Ekspo Tani dan Pesta Buah-buahan negeri Johor 2019 yang berlangsung pada 28 hingga 30 Jun ini, satu pertandingan durian unggul negeri Johor akan diadakan sebagai julung kali.

"Pemenang mungkin akan menempa nama setaraf dengan durian Hajah Hasmah (D168) atau nama komersialnya Durian IOI yang diiktiraf antara terbaik di Malaysia sebaris Durian Musang King dan D24, yang diusahakan Hajah Asmah dan keluarganya dari Muar.

"Baka Durian Unggul tersebut menambah koleksi baka durian Johor dan berpotensi untuk dikomersialkan," katanya pada sidang media bersempena penganjuran ekspo berkenaan di Pejabat Pertanian Johor Bahru, di sini, hari ini.

Hadir sama; Pengarah Pertanian negeri, Hishamuddin Ahmad.

Ekspo bertemakan segalanya durian itu akan diadakan di Padang Awam Majlis Perbandaran Segamat (MPS), di Kampung Abdullah, Segamat dan dijangka menerima pengunjung kira-kira 20,000

Karnival selama tiga hari itu turut menyajikan pelbagai program lain termasuklah pesta makan durian dan buahan tempatan, jualan bazar durian, swafoto durian, pertandingan makan durian dan durian race akan turut diadakan selain pertunjukan automotif dan kebudayaan.

Dalam pada itu, Tosrin berkata, Johor adalah pengeluar durian terbesar di negara ini diikuti Pahang dan Sarawak iaitu keluasan tanaman sehingga 15,630 hektar dengan nilai pengeluaran hasil sebanyak 692,464 tan pada 2017.

"Segamat adalah daerah pengeluar terbesar durian Johor dengan keluasan 4,372 hektar keluasan tanaman dan nilai pengeluaran sebanyak 10,546 tan pada 2017 diikuti Muar, Tangkak dan Batu Pahat, " katanya.